Perintah papar harga ubat bukan untuk kawal harga ubat – Armizan

7 hours ago 2

PUTRAJAYA – Perintah mewajibkan paparan harga ubat melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) di kesemua fasiliti kesihatan bukan bertujuan untuk mengawal harga ubat di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebaliknya mekanisme itu yang akan dikuatkuasakan pada 1 Mei ini bagi memastikan rakyat mempunyai akses maklumat melalui harga dipamerkan sebelum membuat keputusan pembelian.

Jelasnya, mana-mana perniagaan yang beretika seharusnya telus dalam menyatakan harga kepada pelanggan kerana rakyat membayar untuk ubat dan perkhidmatan kesihatan.

“Saya berharap semua pihak tidak cuba mengalih isu ini kepada perkara lain. Isu seperti kadar konsultasi dan lain-lain boleh ditangani secara berasingan.

“Namun, tanggungjawab untuk memaparkan harga ubat adalah perkara asas dan perlu dilaksanakan demi kepentingan pengguna serta ketelusan dalam industri perubatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2025, di sini tadi.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan meneliti isu perundangan berkait pemaparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta, sebelum melaksanakan peraturan itu yang dijadualkan pada 1 Mei depan.

MMA bimbang mengenai peruntukan undang-undang berkaitan perintah itu yang diletakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang menjadi asas untuk pelaksanaan pemaparan harga ubat berkenaan.

Dalam hal ini, Armizan berkata, di bawah Seksyen 10 akta tersebut, Menteri KPDN mempunyai kuasa untuk mewajibkan mana-mana pihak yang menjual barangan atau menawarkan perkhidmatan untuk memaparkan harga.

Katanya, oleh kerana fasiliti kesihatan menjual ubat sebagai sebahagian daripada perkhidmatannya, maka perintah ini boleh dikuatkuasakan di bawah akta ini.

Beliau berkata, KPDN terlibat dalam isu ini kerana ia berkait dengan kos sara hidup dan telah dibincangkan dalam platform Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

Ia disusuli pembentangan Memorandum Jemaah Menteri Bersama KPDN dan Kementerian Kesihatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk diluluskan pada 8 Januari lalu.

Jelas beliau, keputusan ini sekali gus membolehkan satu perintah di bawah akta berkenaan bagi mewajibkan fasiliti kesihatan memaparkan harga ubat di premis masing-masing.

“Saya berharap semua pihak memahami rasional kerajaan dalam memutuskan mekanisme ketelusan harga ubat ini yang bertujuan menangani isu kos sara hidup dan cabaran inflasi perubatan di negara kita yang diunjurkan pada 15 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata Asia Pasifik (10 peratus) dan global (11 peratus).

“Ia juga berkait dengan hak universal pengguna, iaitu hak untuk memilih dan hak untuk mendapatkan maklumat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |