Pergilah tak usah kembali – Ketua Pemuda Pas

2 hours ago 1

PETALING JAYA – “Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami. Terima kasih membuat dunia ini mengenali siapa kawan sejati. Pergilah tak usah kembali lagi.”

Demikian hantaran Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden di media sosial lewat malam tadi dipercayai merujuk kepada hubungan politik Pas dengan sebuah parti lain.

Terdahulu, katanya, Pas bersedia untuk berkawan dengan mana-mana pihak selagi tidak mengganggu-gugat prinsip dan dasar Pas.
Ujarnya, Pas telah membuktikan kesetiaan, patuh arahan pimpinan dan sanggup mengenepikan perasaan sendiri demi menjaga muafakat dan persahabatan.

Tambahnya, Pas malah mengorbankan kerusi pilihan raya untuk kawan, mengerah jentera membantu kawan menang serta mengeluarkan wang dan mengutip derma untuk membantu kawan.

“Sanggup tidak tidur siang malam bantu kempen kawan. Sanggup duduk diserang bersama supaya sama-sama susah sama-sama luka. Itulah setiakawan yang pernah Pas pamerkan,” katanya.

Afnan Hamimi berkata, Pas memenangi paling banyak kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, namun menamakan calon dalam kalangan kawan untuk jadi Perdana Menteri.

Katanya, Pas dalam hati kecil mahu calon Perdana Menteri daripada parti itu, tetapi hasrat dipendam kerana kepentingan muafakat persahabatan lebih diutamakan.

Beliau berkata, apabila menjadi pembangkang, Pas menyokong Ketua Pembangkang dalam kalangan kawan walaupun bilangan Ahli Parlimen Pas lebih besar berbanding kawan.

“Hari ini, kawan itu sudah pergi berjalan sendiri. Merasakan diri sudah gagah hebat kuat. Kawan yang setia ini sudah ditinggalkan. Tak mengapa kawan. Nak pergi, pergilah. Lepas ini buatlah semuanya seorang diri.

“Bilik gerakan, kempen rumah ke rumah, pasang poster, gantung bendera, susun tempat ceramah, kawal keselamatan, buat kerja culaan, jadi ejen mengundi, ejen kira undi, jamuan kenduri. Buatlah sendiri. Ikutlah apa yang kami ajari kalau masih belum lupa diri.

“Pas tidak rugi. Pas akan terus berjalan menuju destinasi menggapai reda Ilahi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |