BANGKOK – Pertempuran antara Thailand dan Kemboja merebak ke kawasan sempadan yang dipertikaikan hari ini ketika angka korban meningkat kepada 10 orang dan lebih 140,000 penduduk awam melarikan diri daripada keganasan.
Bekas pemimpin berpengaruh, Hun Sen berkata, Kemboja melancarkan serangan balas ke atas Thailand selepas Phnom Penh menafikan melepaskan tembakan balas selama dua hari.
Beberapa pegawai berkata, berpuluh-puluh ribu orang dipindahkan dari kawasan sempadan sejak pertempuran baharu tercetus kelmarin.
Warga Kemboja, Poan Hay, 55, berkata, dia meninggalkan rumahnya di wilayah Oddar Meanchey semalam sebaik sahaja mendengar bunyi tembakan. Ini adalah kali keempat dia berpindah pada tahun ini disebabkan pertempuran yang berlaku di sempadan.
“Saya sangat marah terhadap tentera Thailand tetapi saya meminta mereka berhenti daripaa menembak warga Kemboja,” kata Poan Hay kepada AFP.
Dia kini berlindung di sebuah pagoda bersama saudara-mara kira-kira 70 kilometer dari kawasan sempadan di Srei Snam, wilayah Siem Reap.
“Selama lima bulan yang lalu, saya tidak dapat tidur nyenyak. Saya bimbang tentang keselamatan kami.
“Semalam, jet perang Thailand terbang di sepanjang sempadan. Saya sangat takut,” katanya.
Phnom Penh menuduh tentera Thailand menembak kedudukan mereka selama semalaman, menyebabkan penduduk awam terbunuh semalam.
Seramai tujuh penduduk lain maut di Kemboja dan kira-kira 20 orang cedera, kata Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan.
Lebih 21,000 orang telah dipindahkan dari tiga wilayah sempadan di Kemboja, tambah kementerian tersebut.
Kementerian pertahanan pula berkata, tentera Thailand menyambung semula serangan sekitar pukul 5 pagi tadi (waktu tempatan) di kawasan sempadan, termasuk di lokasi kuil purba Preah Vihear.
Tentera Thailand berkata, tiga askarnya terbunuh sejak semalam. – AFP

12 hours ago
5





![[VIDEO] Dua kenderaan halang ambulans bawa pesakit disiasat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-09-at-9.00.04-PM.jpeg)











































