Penunggang motosikal warga asing maut dirempuh kereta

8 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal warga asing maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Istana, dari arah Lebuh Raya Besraya menghala ke Pusat Bandar Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan warga Myanmar itu kira-kira pukul 9.14 pagi.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang lelaki berusia 44 tahun itu dipercayai menukar lorong ke kanan sebelum dilanggar sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun yang sedang bergerak lurus di lorong berkenaan dan gagal mengelak.

“Hasil semakan mendapati penunggang motosikal tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah. Pihak polis juga sedang mengesan pemilik sebenar motosikal terbabit bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Polis telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup serta merakam percakapan pemandu kereta bagi membantu siasatan lanjut. Semakan identiti dan waris si mati juga sedang dijalankan,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin di talian 019-4482852 atau Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |