PASIR MAS – Seorang wanita yang merupakan pengurus di sebuah pajak gadai di sini dipercayai menjadi dalang dalam kes rompakan barang kemas seberat 10.9 kilogram (kg) bernilai RM5.7 juta di premis dia bekerja pada minggu lalu.
Kejadian yang berlaku pada 21 Oktober lalu itu terbongkar selepas kekasih wanita tersebut ditahan polis tiga hari selepas rompakan dijalankan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati, suspek dipercayai menyembur cecair pembasmi kuman pada bahagian muka salah seorang pekerja di pajak gadai itu. Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengacukan pisau kepada pekerja itu sebelum masuk ke dalam pajak gadai itu dan melarikan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta dari dalam peti besi.
“Susulan daripada kejadian itu, polis menahan enam individu berusia 26 hingga 66 tahun bagi membantu siasatan pada hari yang sama.
“Penahanan keenam-enam individu itu membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 49 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Kujid, Panji, Kota Bharu dekat sini pada 24 Oktober lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas plastik mengandungi pelbagai jenis barang kemas seberat 10.9 kg yang dianggarkan bernilai RM5.7 juta.
Menurutnya, selain itu, wang tunai berjumlah RM77,198, dua unit sarung muka, cermin mata hitam, dekoder sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan beg kain turut dirampas.
“Siasatan lanjut mendapati, pengurus yang bekerja selama 17 tahun di pajak gadai itu merupakan dalang utama yang memberi maklumat mengenai barangan kemas di premis tersebut kepada kekasihnya.
“Wanita itu merancang bersama suspek untuk merompak barangan kemas di premis itu sejak sebulan lalu. Selain itu, pemilik pajak gadai itu juga berada di Terengganu semasa kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kesemua direman bermula Selasa lalu hingga 30 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan Samun Berkawan Tanpa Senjata Api. – KOSMO! ONLINE

10 hours ago
4






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































