GEORGE TOWN – Malaysia berusaha memastikan penginapan para pekerja di negara ini selaras dengan piawaian antarabangsa bagi memastikan kebajikan dan hak asasinya dipelihara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan komited dalam mengawal selia piawaian minimum pekerja diterjemahkan melalui penguatkuasaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Menurutnya, Akta 446 menjadi instrumen penting bagi memastikan kebajikan dan hak asasi pekerja sentiasa dipelihara, khususnya dalam penyediaan kemudahan tempat tinggal yang selamat, bersih dan bermaruah. “Penginapan pekerja bukan satu kemewahan atau keistimewaan, tetapi hak asasi manusia yang mesti dijamin.
“Kehidupan yang selesa dan bermaruah adalah asas kepada kesejahteraan serta produktiviti tenaga kerja,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari ketika merasmikan Persidangan Pemeriksaan Buruh ASEAN ke-14 (ALIC) di sini, hari ini.
Persidangan anjuran Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu turut menghimpunkan wakil pemeriksa buruh dari negara-negara ASEAN bersama pertubuhan antarabangsa.
Persidangan ALIC ke-14 itu menjadi platform penting untuk membincangkan dasar, piawaian dan pelaksanaan pemeriksaan penginapan pekerja bagi melindungi hak tenaga kerja serta memperkukuh kesejahteraan sosial di seluruh rantau ASEAN.
Steven berkata, penganjuran ALIC bertemakan ‘The Sustainability of Employees Accommodation and Amenities Is a Tribute to Human Dignity and Equality’ itu mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh sistem pemeriksaan buruh di rantau ini.
Katanya, pindaan Akta 446 pada tahun 2020 merupakan langkah berani oleh untuk Kesuma memperluas liputan undang-undang tersebut daripada hanya melibatkan sektor perladangan dan perlombongan kepada semua sektor serta majikan yang menyediakan penginapan pekerja.
“Langkah ini memperlihatkan ketegasan kerajaan dalam memastikan setiap pekerja tanpa mengira sektor menikmati penginapan yang selamat, selesa dan bermaruah,” katanya.
Tambahnya, peranan pemeriksa buruh mesti sentiasa diperkukuh dan dilengkapi dengan ilmu serta kemahiran yang luas.-KOSMO! ONLINE

12 hours ago
5






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































