‘Penghormatan terbesar’ – Anugerah Sri Wirama milik Siti Nurhaliza

3 hours ago 3

GENTING HIGHLANDS – Lebih tiga dekad berada dalam industri, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menganggap pengiktirafan itu merupakan anugerah terbesar sepanjang lebih 30 tahun berkarya dalam dunia hiburan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, malam ini saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama, satu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya.

“Pertama sekali, jutaan terima kasih kepada Anugerah Industri Muzik (AIM) dan RIM atas pengiktirafan ini. Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk semua insan seni yang telah bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada suami tersayang serta keluarga, pihak pengurusan, rakan seperjuangan, pencipta lagu, penulis lagu, penerbit, pihak media serta semua yang telah menjadi tulang belakang kerjaya saya.

“Tidak lupa kepada peminat saya yang saya kasihi Sitizoners yang telah setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sejarah itu menganggap anugerah tersebut sebagai satu tanggungjawab untuk terus berkarya.

Dalam masa sama, dia turut menitipkan nasihat kepada penyanyi baharu untuk berkarya dengan hati yang ikhlas selain mementingkan disiplin.

“Bagi saya, anugerah ini sebuah tanggungjawab untuk terus berkarya, mengangkat martabat muzik tanah air, serta memberi inspirasi kepada generasi baru.

“Kepada adik-adik, artis muda, percayalah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Apa yang perlu adalah usaha berterusan, disiplin yang tinggi, dan keikhlasan dalam berkarya.

“Jangan pernah takut untuk bermimpi besar, kerana mimpi itulah yang akan menjadi api dalam perjuangan kita,” ujarnya.

Berkongsi lanjut, Siti berharap industri muzik tempatan akan lebih maju terutamanya di luar negara.

“Akhir sekali, saya dedikasikan anugerah ini kepada semua yang percaya bahawa muzik bukan sekadar hiburan tetapi juga bahasa jiwa, penyatu bangsa dan warisan yang harus kita pelihara bersama.

‘Terima kasih sekali lagi atas penghormatan ini. Semoga industri muzik kita terus mekar dan menjadi kebanggaan di mata dunia,” jelasnya.

Majlis berprestij itu ditonton lebih 4,000 tetamu dan memberikan pengiktirafan kepada 31 kategori yang dipertandingkan termasuk Anugerah Sri Wirama.

Bagi penganjuran kali ini, Kementerian Komunikasi telah memperuntukkan Dana Kandungan Kreatif (DKD) berjumlah RM700,000 menerusi My Creative Ventures yang diagihkan kepada 11 pemenang AIM24. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |