Pengetua, guru besar jangan sembunyi kes demi jaga imej sekolah – Anwar

18 hours ago 9

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengetua dan guru besar supaya tidak menyembunyikan apa-apa kes buli, jenayah serta salah laku disiplin hanya kerana mahu menjaga imej dan reputasi sekolah.

Perdana Menteri berkata, perkara itu jika dibiarkan berterusan boleh diibaratkan seperti melindungi perbuatan jenayah.

“Antara punca masalah ini berlaku ialah salah faham atau keutamaan pihak pentadbir sekolah yang lebih cenderung melindungi imej sekolah berbanding menangani masalah sebenar.

“Kadang-kadang buli itu kecil, tetapi kalau dibiarkan boleh jadi besar. Saya sendiri dengar ada kes sebegitu ketika bertemu pelajar dan ibu bapa.

“Ada kalanya pihak sekolah cuba menutup kes buli bagi menjaga reputasi institusi masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5, di sini.

Katanya, kerajaan tidak berniat menuduh mana-mana pihak, tetapi mahu meningkatkan kesedaran bersama agar tindakan sewajarnya diambil dengan segera.

Anwar turut menyarankan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan mengambil supaya mengamhil tindakan pantas terhadap kes tertentu, termasuk yang berlaku di media sosial.

“Sekolah tidak boleh melindungi mana-mana kes, walaupun dianggap kecil. Jenayah tetap jenayah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau mengingatkan agar guru tidak disalah erti dalam menjalankan tugas mendidik.

“Guru boleh menegur dan mendisiplinkan pelajar dalam batas munasabah tetapi janganlah sampai pukul dan hempuk kepala sampai luka.

“Tapi kadang-kadang golongan hak asasi dan liberal ini kadang-kadang keterlaluan.Tak boleh langsung. Jadi bila ada masalah ini, kita kena bagi sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |