Penganggur curi 39 buku agama, sejarah milik perpustakaan dijel 2 bulan

10 hours ago 7

KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara dua bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mencuri dan menyimpan harta curi iaitu 39 buah buku milik perpustakaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan perpustakaan swasta dekat sini pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Farahimee Mohd. Ibrahim, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa mencuri 15 buah buku milik perpustakaan Maik di Pejabat Perpustakaan Maik yang digunakan sebagai tempat penyimpanan harta benda kira-kira pukul 11.54 pagi pada 13 Oktober lalu.

Sebanyak 15 buah judul buku yang dicuri tertuduh ialah Fiqhud-Da’wah: Jejak Risalah Dan Dasar Da’wah M. Natsir, Memgenal Hukum Hudud (Zina, Qazaf, Merompak Dan Minum Arak), Politik dan Pentadbiran Islam, Pengantar Sejarah Patani: Negeri Sitanjung Buang, Beberapa Aspek Pemikiran Al-Maududi, Islam dan Pembangunan Negara, Pembangunan Berteraskan Islam, Hak Asasi Menurut Islam: Sejarah Dan Konsepnya, Lari Dari Neraka Komunis, Some Implications Of Rapid Growth In Peninsular Malaysia, Kesan Mengingati Akhirat Terhadap Pembentukan Peribadi dan empat buah buku Forum Pembangunan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Farahimee yang merupakan bapa kepada empat orang anak dituduh dengan curang menyimpan harta curi iaitu 24 buah buku milik Perpustakaan Nur Al-Zahra dengan mengetahui harta tersebut adalah harta curi.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Lorong Meranti, Jalan Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 5 petang pada 14 Oktober lalu.

24 buah judul buku yang berada dalam simpanan tertuduh di perpustakaan itu ialah Sejarah Tanah Melayu, Insafi Diri Menjelang Umur 40 Tahun, Sembahyang Tarawih Di Zaman Nabi, 313 Sabda Hikmat Warisan Nabi Muhammad, Contoh Wudhu Nabi S.A.W, Government And Politics In The Twentieth Century, Amalan Jampi Menurut Al-Sunnah dan Edward W. Said Peace & Its Discontents.

Selain itu, buku Raja Zainal Raja Sulaiman,Teori Politik Al-Farabi, Ramuan Makanan Islam, The Return Of The Khalifate, Anuar Musa Didepan Api Di Belakang Duri, This Law Of Ours And Other Essays, Politik Islam Dan Kufur, Syed Syeikh Al-Hadi, Pengantar Undang-Undang Jenayah Islam dan Mana Gagah? turut berada dalam simpanan tertuduh.

Buku Plato Protagoras And Meno, Cabaran Malaysia Tahun Lapan Puluhan, A Short History Of The Revivalist Movement In Islam, Serangga Dan Manusia, DAP Melayu dan Pembinaan Hukum Islam juga merupakan harta curi dari perpustakaan tersebut.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shamsul Ikhmal Ramli manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad.

Terdahulu, Nik Nasrun Nazmi memohon tertuduh diberikan bon kelakuan baik atas faktor kesihatan yang dialami Mohd. Farahimee, namun dibantah oleh Muhammad Shamsul Ikhmal.

Rais Imran sebelum menjatuhkan hukuman menegur tindakan tertuduh bahawa buku-buku tersebut merupakan harta benda awam dan tidak sepatutnya dicuri.

“Awak bukan sahaja menyusahkan orang. Apabila harta wakaf dan harta awam dicuri, manfaat ke atas orang ramai yang diniatkan oleh individu tertentu tidak dapat disampaikan,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi kedua-dua pertuduhan yang berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Oktober lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kegiatan seorang lelaki menjual buku-buku yang dicuri dari perpustakaan sebuah agensi kerajaan negeri Kelantan dan swasta di Facebook terbongkar apabila suspek ditahan di sebuah rumah di sini baru-baru ini.

Suspek yang ditahan kira-kira pukul 12.05 tengah malam turut mengaku melakukan perbuatan mencuri buku di kedua-dua perpustakaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, semalam menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) perpustakaan Maik mendapati, suspek mencuri beberapa buah buku dengan cara memasukkan bahan bacaan itu ke dalam bajunya sebelum terus keluar dari premis tersebut kira-kira pukul 11.54 pagi pada 13 Oktober lalu.

“Bertindak atas maklumat itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menangkap suspek di sebuah rumah di daerah ini.

“Sebanyak 15 buah buku termasuk beberapa buah daripadanya milik perpustakaan agensi tersebut dijumpai di rumah suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |