KUALA LUMPUR- Peranan blok ASEAN memperkukuh kesejahteraan dalam kalangan negara anggota termasuk melaksanakan usaha damai antara Thailand dan Kemboja disifatkan bukan sebagai satu kelemahan, sebaliknya merupakan langkah berani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam konteks ini, keikhlasan untuk memilih keamanan mampu membentuk semula masa depan lebih baik terhadap negara terlibat.
“Sebentar lagi, apabila Kemboja dan Thailand menandatangani perjanjian damai di Kuala Lumpur, dunia akan menyaksikan apa yang boleh dicapai oleh keyakinan tersebut. “Ia mengingatkan kita bahawa pendamaian bukan satu kelemahan, tetapi satu keberanian.
“Ia juga bahawa keamanan apabila dipilih dengan ikhlas, mampu membentuk semula masa depan negara,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini tadi.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kemasukan bersejarah Timor-Leste sebagai ahli baharu ASEAN turut memberi makna baharu kepada Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
“Kehadiran Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN selain mengukuhkan kerjasama dan ikatan serantau yang mendalam.
“Dalam komuniti ini, pembangunan dan keupayaan strategik Timor-Leste akan sentiasa mendapat sokongan kukuh dan berterusan,” jelasnya.
Anwar yang juga Pengerusi ASEAN berkata, ASEAN menerusi negara anggota lain turut memainkan peranan bagi memastikan keamanan berterusan di Myanmar.
“Kita sedar, ini menuntut kesabaran dan kejujuran dalam menilai realiti di lapangan.
“Berpandukan Konsensus Lima Perkara, ASEAN telah memanfaatkan semua saluran dan rakan yang ada bagi mengurangkan keganasan dan meringankan krisis kemanusiaan.
“Namun, keamanan yang berkekalan tidak boleh dipaksa, ia mesti dimiliki dan dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
2














![[VIDEO] ASEAN ke-47: Trump tiba di KLCC, lambai petugas media](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-11.08.55.jpeg)

![[VIDEO] Trump tiba di Malaysia, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-26-at-10.09.58-e1761445129382.jpeg)
































