Pendaftaran kad sim diperketat, seorang hanya boleh ada dua nombor prabayar

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperketatkan garis panduan pendaftaran kad sim prabayar di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, antara cadangan sedang diteliti berhubung had maksimum dua nombor prabayar bagi setiap telco untuk warga Malaysia.

Kata beliau, warga asing pula hanya dibenarkan memiliki dua nombor prabayar tanpa mengira syarikat telco mana yang digunakan.

Ujar beliau, garis panduan baharu pendaftaran kad sim prabayar tersebut disasarkan akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

“Berdasarkan garis panduan sejak 2017, setiap individu boleh mendaftar sehingga lima nombor prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi.

“Ini menjadikan jumlah yang agak besar untuk individu,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Nie Ching berkata, garis panduan diperketatkan itu diharap dapat mengurangkan penyalahgunaan kad sim prabayar bagi tujuan penipuan, penyebaran maklumat palsu atau ugutan.

Terdahulu, beliau memaklumkan, dari 1 Januari 2022 hingga 15 Oktober 2025, MCMC telah mengemukakan sebanyak 3,074 permohonan kepada penyedia perkhidmatan untuk menurunkan kandungan ‘deepfake’ dengan 2,354 kandungan berjaya diturunkan.

Kata beliau, bagi kandungan palsu, sebanyak 55,218 permohonan telah dibuat dan 46,966 kandungan telah diturunkan.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti ditetapkan oleh setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MCMC sedang mengkaji pengenalan kaedah pengesahan umur dan identiti pengguna bagi memastikan kebolehlaksanaan secara praktikal di platform dalam talian.

Jelas beliau, langkah itu bertujuan mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan mudarat terutama bagi pengguna kanak-kanak serta penipuan dalam talian melibatkan entiti perniagaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |