SHAH ALAM – “Keputusan itu boleh berubah dan kita tunggu esok.”
Itu kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkaitan keputusan kerajaan untuk menghentikan pemberian tol percuma sempena musim perayaan bermula tahun ini.
Menurut beliau, perkara yang diumumkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi itu merupakan keputusan Kabinet pada tahun lalu.
“Adakah keputusan itu boleh berubah? Boleh. Bilakah ia akan berubah atau dikekalkan? Esok.
“Kita tunggu keputusannya dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh kementerian nanti,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Seksyen 17 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ahmad, beliau mengesahkan kenyataan Fahmi berkaitan mesyuarat Kabinet tersebut.
“Mesyuarat itu selalunya pada setiap Rabu namun ia berlangsung esok kerana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baru pulang dari luar negara hari ini.
“Esok merupakan mesyuarat terakhir Kabinet sebelum sambutan Tahun Baru Cina tahun ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE