Pembebasan Syed Saddiq: Mahkamah tunggu pendirian pendakwaan

1 month ago 38

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan pihak – pihak dalam rayuan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya “meneliti semula dan mempertimbangkan kembali” terhadap rayuan pendakwaan bagi mencabar pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, yang mengetuai panel tiga hakim mencadangkan pihak pendakwaan berbincang bagi mencapai kata sepakat sama ada rayuan itu wajar diteruskan.

`Jika pendakwaan berpendirian anda masih boleh membuktikan kes dengan segala cara, berpegang padanya. Tetapi jika selepas menyemak kes, anda merasakan tidak mahu mengekalkan rayuan, maka anda harus memaklumkan kepada kami. Kami tidak membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu. Jika tiada petunjuk, kami akan menyampaikan keputusan,” ujar beliau.

Hakim Abu Bakar selanjutnya menyatakan, ketiga-tiga hakim yang menganggotai panel tersebut akan menulis alasan penghakiman sama ada rayuan dibenarkan atau ditolak.

Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan penghujahan bertulis tambahan dalam tempoh seminggu diikuti hujahan tambahan dibalas seminggu kemudian.

Dua lagi hakim itu yang turut bersidang ialah Datuk Che Mohd. Ruzima Razali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan.

Sementara Syed Saddiq, 33, selaku responden diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Sebelum ini, pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut pada 25 Jun lalu.

Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Dua lagi hakim yang turut bersidang Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Ia selepas mahkamah itu membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |