Pembantu tukang jahit didenda RM4,000 hina Agong

1 day ago 5

JOHOR BAHRU – Gara-gara menulis komen dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Disember lalu, seorang pembantu tukang jahit didenda RM4,000 di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norli Mohamed Yusof, 53, membuat pengakuan bersalah.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerbitkan hantaran melalui akaun Facebook Nori Norli dengan kata-kata menghasut bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 2 petang di Bandar Seri Alam, di sini, pada 11 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pengadu telah melihat satu hantaran bergambar di sebuah akaun Facebook yang menunjukkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang makan tengah hari di sebuah restoran asam pedas popular.

Pengadu melihat pemilik akaun Facebook Nori Norli iaitu tertuduh telah memuat naik komen yang berunsur dan mempunyai kecenderungan menghasut terhadap Yang di-Pertuan Agong sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam.

Semakan dan risikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati akaun Facebook Nori Norli didaftarkan di nombor telefon anak perempuan tertuduh.

Siasatan terhadap anak tertuduh mengesahkan bahawa akaun Facebook Nori Norli itu dimiliki dan dikendalikan ibunya yang juga tertuduh kes berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Abdul Ghafar Abdul Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi dan P. Rajagunaseelan.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |