Pemandu lori punca dua penunggang motor cedera diburu polis

13 hours ago 8

KUALA KRAI – Pemandu sebuah lori sejuk beku yang menyebabkan dua penunggang motosikal cedera selepas kenderaan dipandunya memasuki laluan bertentangan ketika memotong di Kilometer 101, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Lela Jasa di sini semalam diburu polis.

Kejadian kira-kira pukul 7.26 pagi itu menyebabkan kedua-dua penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Krai, Deputi Superintendan Maizan Mustaffa berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 38 tahun sedang memandu sebuah kereta dari arah Kuala Krai menghala Gua Musang.

Katanya, pada masa sama, sebuah lori sejuk beku jenis Isuzu berada di laluan bertentangan.

“Ketika sampai di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai memasuki laluan kereta itu sebelum pemandunya terpaksa berhenti secara mengejut di bahu jalan.

“Keadaan itu menyebabkan bahagian sisi kiri kereta berkenaan dirempuh oleh dua buah motosikal yang berada di laluan sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Maizan memberitahu, kedua-dua penunggang motosikal itu terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu lori yang memotong dengan cuai sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu memaksa pemandu kereta itu memberhentikan kenderaannya sebelum dirempuh dua buah motosikal.

“Pihak polis masih mengesan pemandu lori tersebut untuk membantu siasatan,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, tular rakaman kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta yang memaparkan keadaan sebuah lori berada di jalan bertentangan memotong kenderaan sebelum memasuki laluannya.

Keadaan itu mengakibatkan pemandu kereta berkenaan berhenti di bahu jalan dan dirempuh dua buah motosikal sebelum kedua-dua penunggang terjatuh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |