KUALA LUMPUR – 30 tahun lalu, kumpulan rock tersohor tanah air, Wings muncul dengan album baharu berjudul Biru Mata Hitamku yang menampilkan vokalis, Mus yang sebelum itu merupakan vokalis kumpulan May.
Dilancarkan pada September 1996, percaturan Wings yang ketika itu dianggotai oleh Joe, Eddie dan Black untuk mengambil Mus sebagai vokalis nyata menjadi apabila album Biru Mata Hitamku mendapat sambutan ramai.
Biarpun Mus hanya memiliki tiga buah album bersama Wings sebelum pulang semula ke pangkuan May, namun gabungannya bersama Wings tetap memiliki kelompok peminat yang tersendiri.
Buktinya, konsert Biru Mata Hitamku yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-30 album ini mendapat sambutan hangat dibuktikan dengan kebanyakan tiket sudah pun ‘sold out’.
Menurut gitaris, JoBranko album dan lagu Biru Mata Hitamku mempunyai nilai sentimental yang istimewa buat mereka kerana itu adalah percubaan Wings menghasilkan muzik yang agak berlainan dengan album mereka sebelum ini.
“Album dan lagu Biru Mata Hitamku agak istimewa. Sehingga kini lagu ini menjadi siulan ramai. Sewaktu dilancarkan, lagu ingin mendapat sambutan ramai.
“Jadi konsert kali ini akan mengimbau semula kenangan 30 tahun lalu. Ketika kami jalani sesi latihan untuk konsert ini pun, terimbau semula kenangan-kenangan lalu.
“Menariknya untuk konsert ini, ada lagu yang kami tak pernah persembahkan di mana-mana pun sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan konsert Biru Mata Hitamku, baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pengisian konsert yang akan berlangsung di Mega Star Arena pada 5 September ini akan padat dengan persembahan berterusan selama dua jam 30 minit tanpa ada artis undangan.
Ditanya tentang susunan muzik, kata Jo dia cuba sedaya upaya untuk mengekalkan susunan muzik asal dan tidak terlalu mengubah agar peminat familiar dengan bunyi lagu mereka.
“Kita cuba kekalkan susunan muzik asal. Ada lagu yang kami tak pernah ‘perform’ bersama pun sebelum ini. Jadi lebih baik kekalkan muzik asal.
“Itu pun sewaktu sesi latihan, masing-masing cuba mencari rentak. Lagipun tenaga kami semua bukan seperti waktu muda dulu.
“Mencabar dari segi teknikal. Macam saya, nak main bahagian solo seperti yang lama dulu, saya rasa susah. Jadi kena praktis lebih sikit, lagi pula nak bagi ‘muscle memory’ itu sama macam 30 tahun lalu.
“Nak ‘recall’ balik bukan mudah. Dalam tujuh hingga lapan hari jugalah kita nak ‘recall’ balik semua lagu, supaya kita dapat kembali ke 30 tahun dulu,” kongsinya.
Sementara itu kata Mus selaku vokalis, dia mengakui sebagai penyanyi yang sudah berada di usia emas, tidak mungkin seseorang penyanyi boleh menyanyi seperti usia muda.
“Kita menyanyi ikut usia. Tetapi kita masih menyanyikan lagu yang sama dan mood yang sama. Kita juga mengharapkan vibe yang sama daripada peminat. Energi penyanyi kadang-kadang bergantung kepada penonton juga. Kalau mereka memberikan energi yang hebat, kita turut sama menyerap energi itu,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
6














































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)

