PETALING JAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) tidak seharusnya dihentikan selepas jenamanya dibina selama berpuluh tahun sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Bekas Perdana Menteri itu berkata perkara itu bukan semata-mata melibatkan perasaan atau sentimental terhadap pameran berkenaan, sebaliknya perlu mengambil kira nilai LIMA sebagai sebuah jenama yang masih relevan.
“Ianya bukan semata-mata berkait perasaan saya tetapi yang lebih penting ialah apakah LIMA bukan satu ‘brand’ (jenama) yang masih laku.
“Maknanya, kita sudah berusaha berpuluh tahun untuk menaikkan brand atau jenama LIMA diperingkat antarabangsa dan pada asasnya ia diterima. Buktinya ialah kehadiran syarikat-syarikat pertahanan antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Tambah bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, sebarang kekurangan dalam penganjuran LIMA seharusnya diperbaiki dan bukannya dijadikan alasan untuk menghentikan pameran berkenaan.
“Jika ada keperluan besar untuk ada pameran lain yang berkaitan tetapi tidak mampu ditampung oleh LIMA, adakan pameran lain yang lebih targeted (lebih bersasar),” katanya.
LIMA merupakan antara pameran maritim dan aeroangkasa utama negara yang menghimpunkan pemain industri pertahanan, keselamatan, maritim dan penerbangan dari dalam serta luar negara.
Penganjurannya di Langkawi sejak beberapa dekad lalu turut menjadi platform kepada syarikat antarabangsa mempamerkan teknologi serta aset pertahanan dan aeroangkasa masing-masing.
Dr. Mahathir dalam hantaran sama turut memuat naik gambar beliau menyaksikan formasi pesawat di ruang udara, dipercayai ketika berada di Langkawi.
Pada 30 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Melaka berpotensi menjadi lokasi alternatif LIMA sekiranya Langkawi tidak lagi sesuai pada masa hadapan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan perkara itu masih memerlukan penelitian dari segi infrastruktur dan pelaburan.- KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7














































![[VIDEO] Banjir kilat landa beberapa kawasan di Kulai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-08-at-6.34.46-PM.jpeg)

