PERJALANAN dianggap masih jauh selain ada jurang yang cukup besar buat pemain-pemain badminton perseorangan wanita negara bagi mengejar kedudukan bintang-bintang ternama dunia yang lain.
Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin berkata, beliau masih berada dalam proses membuat penilaian terhadap barisan pemain sedia ada kerana baru sahaja menyertai pasukan awal bulan ini.
Jelasnya, masih banyak aspek yang perlu diperbaiki pemain-pemain negara sekiranya mahu bersaing di pentas tertinggi, terutamanya dari segi ketahanan diri serta ‘senjata’ dalam permainan.
“Sekarang kita tengah membuat penilaian kerana saya pun masih baru. Buat masa sekarang, mungkin kita perlu membina daya tahan pemain-pemain ini untuk beraksi dalam kejohanan berturut-turut.
“Selepas ini, kita akan fokus kepada latihan taktikal dan teknikal. Jika kita mahu mematikan pukulan pemain-pemain ternama, kita perlu ada ‘senjata’ yang bagus,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kelmarin.
Iskandar yang merupakan bekas perseorangan lelaki kebangsaan mengakui berpuas hati dengan aksi dipamerkan Wong Ling Ching ketika menjadi naib juara pada kejohanan Malaysia Super 100 di Johor dua minggu lalu.
Perbezaan ketara dari segi kualiti dapat dilihat ketika pemain berusia 22 tahun itu membuat perhitungan dengan bekas juara dunia dari Jepun, Nozomi Okuhara di perlawanan akhir sebelum tewas 18-21, 11-21.
Sementara itu, Iskandar menjelaskan, anak-anak buahnya memerlukan lebih banyak pendedahan dengan menyertai kejohanan-kejohanan kompetitif berdasarkan usia pemain-pemain yang masih muda.
“Pemain-pemain kita memang ada kemahuan untuk ke depan, cuma perlu lebih kuat dari segi mentaliti. Mereka memerlukan pendedahan dan juga keyakinan supaya tidak rasa terlalu merendah diri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3



![[VIDEO] Beg telekung pun dah tidak selamat sekarang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-30-at-2.52.30-PM.jpeg)
![[VIDEO] ‘Malaysia abang kesayangan kami’ – Jalur Gemilang dikibar sambut Gusmao](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-30-at-1.25.35-PM.jpeg)



![[VIDEO] PM Timor-Leste berarak, disambut sebagai wira](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-30-at-12.30.36-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘PM Timor-Leste datang 5 hari, kesannya macam datang setahun’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-30-at-11.38.43-AM.jpeg)




































