PETALING JAYA – Tular di media sosial keluhan seorang individu yang mendakwa pihak pengurusan sebuah pangsapuri di Bandar Sunway, di sini menetapkan caj RM2 kepada pelawat yang ingin masuk ke kawasan residensi berkenaan, sebelum dikenakan bayaran RM2 lagi ketika keluar.
Isu itu dibangkitkan pengguna media sosial, Mad Annas yang mempersoalkan motif caj berkenaan ketika ingin melawat kenalan di kediaman itu.
“Normal ke visitor (pelawat) masuk residensi bayar RM2? Keluar RM2? Motif?” katanya dalam satu hantaran di Threads semalam.
Menurutnya, bayaran yang dikenakan seolah-olah tidak munasabah kerana pelawat bukan menggunakan kemudahan khas selain hanya melalui pintu pengawal untuk mendaftar masuk.
Isu itu turut mengundang perbincangan netizen lain yang berkongsi pengalaman hampir sama di kawasan kediaman masing-masing.
Seorang lagi pengguna dikenali Wany berkata, ada pangsapuri menetapkan caj lebih tinggi kepada pelawat yang mahu bermalam.
“Kalau dekat rumah saya, visitor (pelawat) nak bermalam kena bayar RM10. Is it normal? (Adakah ia normal?) Huhu,” tulisnya.
Situasi sama turut terjadi kepada Syera Della apabila ketika mendaftar di pondok pengawal, pelawat dikenakan caj RM5.
“Ya di kondo (kondominium), entahla…masa nak amik kad pelawat kena minta RM5, dia bagi kertas suruh isi nombor plat kereta, kita pun kali pertama, jadi ‘blur’ la juga,” kongsinya.
Rata-rata netizen beranggapan caj-caj seumpama itu semakin melampau dan membebankan, terutama bagi pelawat yang hanya ingin menghantar barangan atau melawat ahli keluarga dalam tempoh singkat.
Ada juga yang mempersoalkan ketelusan pengurusan kediaman dalam mengutip bayaran tersebut, sekali gus meminta pihak berkuasa meneliti dasar dan garis panduan caj pelawat di kawasan kediaman berpengawal.
“‘Condo high end’, orang luar nak masuk pun tak ada kena caj, ini residensi biasa siap belakang tu orang duduk atas kerusi apa pula nak caj? Buat laporan je. Benda (perkara ini) tiada dalam kamus undang-undang,” kata @Iamfathi.
“Sila report (buat laporan) segera. Takut geng pengawal yang jaga ambil kesempatan, atau pihak pengurusan nak untung atas angin. Sedangkan penghuni dah bayar macam-macam, jadi mereka ada hak bawa pelawat ke rumah tanpa bayaran,” kata Syed. – KOSMO! ONLINE

1 month ago
40







![[VIDEO] Pelajar IPT maut kemalangan tiga buah kenderaan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-3.36.53-PM.jpeg)










![[VIDEO] ‘Nasib tak kena lempang dengan bomba’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-19-at-10.52.09-AM.jpeg)






























