Pelajar UiTM Machang maut dirempuh motosikal pakai sebelah ‘earbuds’

5 hours ago 4

MACHANG – Seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini yang maut selepas dirempuh sebuah motosikal semasa melintas jalan semalam dipercayai memakai ‘earbuds’ atau fon telinga tanpa wayar.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, hasil siasatan siasatan awal, mangsa yang berusia 19 tahun hanya memakai peranti itu pada sebelah telinga kanannya.

“Mangsa yang memakai ‘earbuds’ berkemungkinan tidak menyedari kehadiran motosikal ditunggang seorang pelajar lelaki semasa sedang melintas jalan.

“Siasatan awal mendapati, peranti tersebut dilihat masih berada pada telinganya selepas kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahmad Shafiki memberitahu, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Machang mendapati, kematian pelajar itu berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian kepala.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, mangsa yang berusia 19 tahun dan merupakan pelajar semester ketiga Fakulti Pengurusan dan Perniagaan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Ahmad Shafiki berkata, siasatan awal mendapati, sebuah motosikal jenis Honda RS-X 150 ditunggang seorang lelaki yang merupakan pelajar Fakulti Perakaunan sedang dalam perjalanan dari arah pintu utama UiTM Cawangan Machang untuk pulang ke asrama.

Menurutnya, semasa motosikal tersebut sedang mendaki bukit, mangsa yang berasal dari Marang, Terengganu dipercayai melintas jalan secara mengejut.

“Keadaan itu menyebabkan penunggang motosikal yang berusia 20 tahun dan berasal dari Shah Alam, Selangor itu mengelak ke kiri, namun tetap merempuh mangsa.

“Pelajar perempuan itu terjatuh di atas pembahagi jalan dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |