Pelajar tingkatan 4 hafaz 30 juzuk sehari, raih Mumtaz

8 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang pelajar tingkatan empat, Ahmad Fikri Abdul Hisham dari Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu mencatat kejayaan cemerlang apabila menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk dalam tempoh hanya satu hari.

Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook MTM, Ahmad Fikri juga memperolehi Pangkat Mumtaz tanpa kesalahan sepanjang tempoh hafazan.

Kejayaan itu diraikan seluruh warga sekolah dan masyarakat yang mengikuti perjalanan ujian syahadah berkenaan yang diadakan secara siaran langsung, bermula seawal 5.30 pagi hingga 11 malam.

Berdasarkan jadual ujian, Ahmad Fikri memperdengarkan hafazan mengikut pecahan enam sesi iaitu Juzuk 1 hingga 5 (5.30 pagi – 8.30 pagi), Juzuk 6 hingga 10 (9.30 pagi – 12 tengah hari), Juzuk 11 hingga 15 (12 tengah hari – 2 petang), Juzuk 16 hingga 20 (3 petang – 5.30 petang), Juzuk 21 hingga 25 (6 petang – 8.30 malam) dan Juzuk 26 hingga 30 (9 malam – 11 malam).

Ahmad Fikri merupakan anak kepada Abdul Hisham Daud dan Rohaizah Mt Naing, dari Kampung Limau Kasturi, Gua Musang.

Dalam pada itu, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam hantaran di Facebook turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahmad Fikri atas pencapaian yang luar biasa.

YIK berkata, kejayaan ini adalah hasil disiplin, kesungguhan dan istiqamah yang dibina sejak usia 13 tahun, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar tahfiz YIK melahirkan huffaz berkualiti dan berdaya saing.

“Pencapaian ini turut mendapat pengiktirafan apabila dilaporkan oleh media tempatan sekali gus mengharumkan nama institusi tahfiz YIK di peringkat nasional.

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar, guru dan warga pendidikan Islam untuk terus menjunjung al-Quran sebagai teras kecemerlangan ummah,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan berkata kejayaan Ahmad Fikri itu juga diharapkan menjadi inspirasi kepada pelajar lain dan seluruh warga Kelantan untuk terus menjadikan al-Quran sebagai panduan dan pendorong kecemerlangan.

“Setinggi-tinggi tahniah turut dizahirkan kepada ibu bapa, para guru, serta YIK atas komitmen dan usaha berterusan dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |