JOHOR BAHRU – Seorang pelajar tingkatan empat mendakwa dia dan rakannya diculik dan dipukul sekumpulan ahli kongsi gelap hanya kerana menolak untuk menyertai kumpulan mereka.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Alex berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang, kelmarin ketika itu dia dan rakannya sedang berjalan kaki menuju ke rumah selepas selesai bermain badminton.
Katanya, mereka didatangi sekumpulan enam lelaki yang menangkap dan memaksa mereka menaiki dua kenderaan berasingan.
“Semasa dalam kereta, kepala saya ditutup dengan kain, ditampar dan dipukul beberapa kali. Mereka kemudian berhenti di kawasan semak dan membawa saya keluar kereta.
“Di situ, ada beberapa orang sudah berkumpul dan ada antara mereka saya kenal di sekolah. Mereka kemudian memukul saya termasuk menggunakan kayu.
“Selain itu, mereka juga membuka pakaian saya dan mengambil gambar untuk mengugut saya agar menyertai kumpulan kongsi gelap mereka,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, di sini.
Tambah Alex yang kini berusia 17 tahun, dia terpaksa bersetuju untuk menyertai kumpulan tersebut kerana tidak tahan dipukul secara beramai-ramai dan berterusan.
“Saya cedera di bahagian muka, kepala, tangan, serta bahagian badan akibat perkara itu. Mereka juga ugut akan cederakan ahli keluarga jika perkara itu diketahui atau jika saya laporkan kepada polis.
“Ajakan itu sudah bermula sejak saya tingkatan satu lagi, cuma sebelum ini hanya ajakan mulut sahaja, tetapi kali ini mereka mula cederakan saya,” katanya yang takut untuk hadir ke sekolah selepas kejadian itu.
Sementara itu, nenek pelajar berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Kong, 55, pula memberitahu, cucunya itu pada mulanya hendak merahsiakan perkara tersebut.
“Apabila saya pulang dari kerja, saya dapati mukanya bengkak dan bertanya apa berlaku, dia tidak jawab. Kemudian saya selak pakaiannya baru lihat kecederaan dialami,” jelasnya yang meminta cucunya membuat laporan polis.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Laporan polis sudah diterima dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE