Keadaan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang terlibat dalam kemalangan maut mengorbankan Ibrahim di Kilometer 15, Jalan Al Muktafi Billah Shah - Paka, berhampiran Ketengah Jaya, Dungun semalam.
- Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
- 25 Oktober 2025, 12:29 pm
DUNGUN – Seorang pekebun kelapa sawit maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona di Kilometer 15, Jalan Al Muktafi Billah Shah – Paka, berhampiran Bandar Ketengah Jaya, di sini, semalam.
Dalam kemalangan pada pukul 6.45 petang itu, mangsa, Ibrahim Daud, 47, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Sewaktu kejadian, Ibrahim dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh 6 di sini dari kebun kelapa sawitnya. Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR dikatakan tidak sempat mengelak lalu merempuh sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah bertentangan.
Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir yang dihubungi mengesahkan kemalangan berkenaan dan memaklumkan mayat Ibrahim telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3

















































