Peguam syarie Uqasha Senrose tarik diri

12 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Peguam syarie yang mewakili pelakon Uqasha Senrose memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syarie di sini hari ini, bahawa beliau menarik diri dalam kes cerai selebiriti itu dengan suaminya Kamal Adli.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Nurfarhana Abd Manaf yang bertindak mewakili Uqasha sebagai plaintif pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali.

“Alasan tarik diri adalah isu profesionalisme antara peguam dan anak guam. Dia (Uqasha) maklum kita akan tarik diri. Saya akan failkan (tarik diri) selepas prosiding hari ini.” Ujar Nurhafana.

Semasa prosiding, peguam syarie Abdul Hadi Mohamad Salleh yang mewakili Kamal memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya selaku defendan hadir pada hari ini.

“Defendan (Kamal) hadir, walaubagaimanapun saya diberitahu peguam plaintif menarik diri. Plaintif tidak diwakili mana-mana peguam,” kata Abdul Hadi.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie Siti Noraini kemudian menetapkan tarikh baharu untuk prosiding seterusnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 November ini bagi sebutan semua kes cerai pasangan itu.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah menetapkan hari ini bagi sebutan semula kes cerai pasangan itu selepas Kamal tidak hadir.

Sebelum ini, media melaporkan rumah tangga pasangan berkenaan dikatakan mulai bergolak sejak April lalu. Difahamkan, Uqasha kini tidak lagi tinggal sebumbung dengan Kamal dan menetap di rumah ibunya.

Pada masa sama, terdapat beberapa hantaran berupa luahan hati Uqasha mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang mengaitkan hantaran tersebut dengan situasi rumah tangga yang mungkin sedang bergolak.

Uqasha dan Kamal sah bergelar suami isteri pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang.

Hasil perkahwinan pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |