Peguam disyaki subahat seludup dadah ke Penjara Marang

2 weeks ago 20
Seorang peguam (kiri) ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan kes bersubahat menyeludup dadah di Penjara Marang di Mahkamah Majistret Marang pada kelmarin.
  • Oleh NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
  • 1 Januari 2026, 2:28 pm

KUALA TERENGGANU – Seorang peguam ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes bersubahat menyeludup dadah ke dalam Penjara Marang minggu lalu.

Lelaki berusia 32 tahun ditahan susulan penemuan pil kuda seberat 123 gram, ganja (21 gram) dan Erimin 5 (13 gram) dalam badan banduan berusia 25 tahun pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, pemeriksaan mesin pengimbas pada 23 Disember lalu mengesan kehadiran objek asing dalam badan banduan tersebut.

“Ketika itu banduan berkenaan sedang menjalani pemeriksaan penerimaan selepas selesai perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

“Pegawai Penjara Marang yang melakukan pemeriksaan segera mengasingkan banduan itu sebelum membawanya ke Klinik Kesihatan Merchang bagi pemeriksaan lanjut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Mohd. Khairuddin berkata, prosedur seterusnya berjaya mengeluarkan 12 ketulan disyaki pil kuda dan ganja pada 24 Disember lalu. Baki 14 lagi ketulan dipercayai mengandungi pil kuda, ganja dan Erimin 5  dikeluarkan menerusi najis pada keesokan harinya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |