Pegawai bank wanita ‘ambil’ RM58,000 urus pinjaman melebihi kelayakan

11 hours ago 6

MELAKA – Dua pegawai bank wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan menerima suapan dengan masing-masing berjumlah RM50,581.51 dan RM8,000 bagi memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan melebihi had kelayakan.

Tertuduh, Syamime Hazreen Bahrin, 37, dan Nursyafiqah Abdul Latif, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut lima kertas pertuduhan terhadap Syamime, dia yang masih bertugas sebagai penasihat kewangan di sebuah bank di Kuala Lumpur, didakwa menerima suapan berjumlah RM50,581.51 secara pindahan atas talian ke dalam akaun bank miliknya.

Ia sebagai suatu upah kerana membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi lima pelanggan sebuah syarikat secara serentak dengan permohonan pinjaman peribadi pelanggan di beberapa instistusi kewangan yang lain, yang mana telah menyebabkan pelanggan tersebut mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan mereka.

Perbuatan itu di sebuah bank di lakukan di sebuah bank di Jalan Hang Tuah antara 8 Disember 2022 hingga 15 Julai 2024.

Sementara itu, Nursyafiqah, yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank cawangan Ampang Point berdepan dua pertuduhan iaitu secara rasuah menerima RM8,000 daripada seorang lelaki secara pindahan atas talian ke dalam akaun bank miliknya atas kesalahan sama.

Perbuatan itu dilakukan disebuah bank di Masjid Tanah, Alor Gajah pada 7 Ogos 2023 dan 9 September 2023.

Kedua dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan antara RM20,000 hingga RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap Syamime dan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi Nursyafiqah.

Sharina turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali, selain menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah.

Peguam Emile Ezra Hussain dan M. Manoharan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon agar jumlah tersebut dikurangkan.

Selepas mendengar hujah kedua belaj pihak, Elesabet membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Syamime dan RM7,000 bagi Nursyafiqah serta bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 3 Januari depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |