PDRM sokong pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 – KPN

22 hours ago 7

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penuh pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dalam usaha memperkukuh perlindungan keselamatan pengguna serta meningkatkan tanggungjawab platform digital daripada ancaman siber.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, langkah itu dilihat penting memandangkan jenayah dalam talian kini semakin serius dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan masyarakat.

Menurut beliau, berdasarkan rekod PDRM, rakyat menanggung kerugian sebanyak RM2.77 bilion akibat jenayah penipuan dalam talian sejak Januari 2023 hingga November lalu.

“Dalam tempoh sama, kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian turut menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan 688 kes direkodkan sejak Januari 2021 hingga November 2025.

“Selain itu, kes berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) merekodkan sebanyak 351 kes dari Januari 2021 hingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pelaksanaan ONSA akan memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam mengekang penyebaran kandungan berbahaya, menutup ruang operasi penjenayah siber serta memperkukuh tindakan terhadap eksploitasi kanak-kanak, penipuan online, penyalahgunaan identiti dan kandungan berunsur ekstremisme.

Menurut beliau, pendekatan itu selaras dengan komitmen kerajaan melindungi rakyat dan memastikan keselamatan mereka dalam persekitaran siber pada masa hadapan.

Beliau menegaskan, PDRM akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kementerian berkaitan dan penyedia platform digital melalui pendekatan “whole-of-government” bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

“Seiring pelaksanaan ONSA, PDRM komited memperkukuh kesiapsiagaan dalaman melalui peningkatan keupayaan pemantauan digital, penambahbaikan proses siasatan dan pengukuhan perkongsian maklumat strategik tanpa mendedahkan butiran operasi yang boleh menjejaskan keselamatan,” ujarnya.

Mohd. Khalid yakin undang-undang baharu itu akan memperkukuh perlindungan kepada pengguna, meningkatkan integriti ruang digital negara serta memastikan keselamatan generasi masa hadapan dalam menghadapi lanskap siber yang semakin kompleks.

ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang memegang lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi, atau lesen Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan, atau lesen Pemberi Perkhidmatan Rangkaian di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, akta tersebut tidak terpakai terhadap pengguna individu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |