Pahang miliki 1.4 juta tan rizab nadir bumi bernilai RM37.4 bilion

9 hours ago 5

KUANTAN – Pahang mempunyai anggaran rizab unsur nadir bumi (REE) berjumlah kira-kira 1.4 juta tan metrik dengan anggaran nilai kira-kira RM37.4 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd. Nizar Najib berkata, berdasarkan laporan daripada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) itu mendapati 70 peratus kawasan berpotensi mengandungi nadir bumi berada dalam hutan simpan dan selebihnya di kawasan berstatus tanah milik dan tanah kerajaan.

“Pada masa ini kerajaan negeri melalui Pahang Mining Corporation (PMC) sedang melaksanakan kajian potensi rizab mineral yang terperinci, khususnya bagi mineral REE tersebut bagi mengenal pasti potensi serta jumlah rizab sebenar yang terdapat di negeri Pahang.
“Kajian masih belum menyeluruh dan mungkin rezab adalah lebih besar,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Tuan Ibrahim bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menubuhkan satu ‘Pahang REE Processing Hub’ yang benar-benar dikawal dan dimiliki oleh anak negeri atau ia akan diserahkan sepenuhnya kepada syarikat luar seperti Lynas Malaysia.

Menurut Mohd. Nizar, kerajaan negeri telah meluluskan prosedur operasi standard perlombongan NR-REE di negeri Pahang di dalam mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan (MMK) Pahang pada 18 Jun lalu.

Katanya, selain itu kerajaan negeri juga sedang memfokuskan kepada aspek memulakan pengopersian perlombongan peringkat huluan bagi memastikan pelaksanaan perlombongan, terutama melibatkan nadir bumi dapat dijalankan secara mampan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Justeru, pengoperasian perlombongan peringkat huluan adalah penting bagi meyakinkan pelabur untuk melabur dalam pembangunan hab pemprosesan REE bagi peringkat pertengahan atau hiliran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |