TULANG pinggul patah kerana tergelincir ketika ingin membetulkan langsir.
Itulah situasi yang dihadapi oleh seorang warga emas, Rokiah Hashim.
“Saya hanya tergelincir sedikit, kemudian terjatuh, dan impaknya tidak terlalu kuat.
“Tetapi saya tidak boleh bangun semula pada waktu itu dan berasa sakit pada bahagian pinggul,” ujar wanita berusia 60-an itu.
Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mengesahkan bahawa tulang pinggul Rokiah patah dan dia perlu menjalani pembedahan memasukkan besi bagi membolehkannya berjalan semula.
Tulang pinggulnya patah disebabkan masalah osteoporosis ataupun penyakit tulang rapuh.
Sering digelar ‘penyakit senyap’, osteoporosis tanpa disedari melemahkan tulang dari semasa ke semasa.
Ia tidak menunjukkan sebarang tanda sehinggalah berlaku patah, selalunya akibat terjatuh yang kelihatan seperti tidak berbahaya.
Pakar Perunding Geriatrik di Pusat Bandar Sunway, Bandar Sunway (SMC), Dr. Edward Chong Kah Chun berkata, osteoporosis tidak menyebabkan rasa sakit atau tanda amaran yang ketara.
Menurutnya, kebanyakan pesakit didiagnosis hanya selepas mengalami kepatahan ‘fragiliti’ (fragility fracture) disebabkan oleh jatuh atau impak kecil yang biasanya tidak akan mencederakan tulang sihat.
“Ketika itu, penyakit tersebut sudah pun menyebabkan kerosakan.
“Kepatahan yang paling lazim berkaitan osteoporosis atau kepatahan fragiliti berlaku pada pinggul, tulang belakang, dan pergelangan tangan, di mana setiap satunya mempunyai kesan serius,” katanya.
Tambahnya, kepatahan pinggul adalah yang paling teruk kerana sering menyebabkan ketidakupayaan bergerak berpanjangan.
Dalam pada itu, kepatahan tulang belakang pula boleh menyebabkan sakit belakang yang berterusan dan kerengsaan saraf.
MASALAH osteoporosis semakin meningkat di Malaysia disebabkan perubahan diet.– Gambar hiasan
Ia kadangkala berlaku akibat pergerakan yang sangat ringan seperti duduk terlalu cepat.
Sementara itu, biarpun kurang mengancam nyawa, namun kepatahan pergelangan tangan boleh menyukarkan tugas harian seperti berjalan, memakai pakaian atau mandi, terutamanya jika tangan dominan yang terjejas.
Dr. Edward menjelaskan, selain kesakitan fizikal, osteoporosis juga boleh memberi kesan emosi.
“Ramai pesakit mengalami ‘ketakutan jatuh’ atau fear of falling.
“Mereka akan hilang keyakinan untuk berjalan atau keluar rumah, sekali gus membawa kepada kelemahan otot dan pengasingan diri,” ujarnya.
Tambahnya, masalah itu akan bertambah mudarat kerana semakin kurang bergerak, semakin lemah keadaan mereka.
Untuk makluman, masalah osteoporosis semakin meningkat di Malaysia disebabkan oleh perubahan diet dan gaya hidup.
Dr. Edward berkata, diet tempatan beraneka jenis dan enak, tetapi tidak seimbang.
“Ramai tidak mengambil makanan dengan kalsium yang mencukupi seperti susu, keju, yogurt, tauhu atau sayur-sayuran.
“Kekurangan vitamin D juga semakin meningkat kerana kita mengelak daripada cahaya matahari meskipun Malaysia beriklim tropika,” katanya.
Kurang pendedahan kepada cahaya matahari bermaksud kurangnya vitamin D yang penting untuk penyerapan kalsium.
Makanan seperti salmon, tuna, ikan bilis dan cendawan boleh membantu, tetapi cahaya matahari di waktu pagi kekal sebagai sumber semula jadi vitamin D yang terbaik.
“Wanita menghadapi risiko yang lebih tinggi selepas menopaus apabila paras estrogen menurun.
“Bagaimanapun, lelaki juga boleh menghidap osteoporosis, terutamanya jika mereka mempunyai diet kurang baik seperti merokok atau mengambil ubat-ubatan tertentu untuk tempoh lama,” tambah Dr. Edward.
Merujuk kepada Panduan Amalan Klinikal (CPG) Malaysia mengenai Pengurusan Osteoporosis 2022, Dr. Edward mengesyorkan saringan dalam beberapa situasi.
“Mereka yang mengalami kepatahan trauma rendah seperti jatuh dari ketinggian berdiri, harus disaring dengan serta-merta.
“Saringan juga dinasihatkan untuk wanita berumur 50 tahun ke atas dan lelaki berumur 70 tahun ke atas, walaupun mereka kelihatan sihat,” jelasnya.
Biasanya, ujian standard adalah imbasan DEXA (dual-energy x-ray absorptiometry), iaitu ujian ringkas dan tidak invasif yang mengukur ketumpatan mineral tulang.
Dr. Edward berkata, ujian itu terdapat di kebanyakan hospital dan beberapa klinik pakar.
“Kami menggalakkan penilaian awal kerana ia membolehkan tindakan diambil sebelum kepatahan serius berlaku. Ia juga dapat meningkatkan keselamatan pesakit, kualiti penjagaan dan pemulihan jangka panjang,” jelasnya.
Rawatan untuk osteoporosis biasanya menggabungkan pelarasan gaya hidup dengan ubat-ubatan.
“Nutrisi adalah asas, dan kami menggalakkan pesakit mengambil kira-kira 1,000 miligram kalsium dan 800 IU vitamin D setiap hari.
“Jika diet sahaja tidak mencukupi, suplemen boleh dipreskripsikan,” jelas Dr. Edward.
Aktiviti fizikal yang kerap juga sama penting untuk merangsang pertumbuhan tulang.
Kita perlu melakukan aktiviti yang kerap seperti angkat berat, berjalan, berjoging dan senaman daya tahan yang ringan.
Bagi pesakit yang mengalami tulang rapuh teruk, ubat oral perlu diambil untuk menguatkan tulang.
Bagi kes lebih teruk, terdapat rawatan suntikan atau infusi yang boleh diberikan secara bulanan atau tahunan bergantung kepada keadaan pesakit.
Terapi berkenaan sangat berkesan apabila digabungkan dengan pemeriksaan susulan dan amalan gaya hidup sihat.
Dr. Edward menjelaskan, ahli keluarga memainkan peranan penting untuk keselamatan pesakit.
“Perubahan ringkas seperti membuang permaidani yang licin, mempertingkatkan pencahayaan dan memasang palang pemegang di bilik mandi boleh memberi perbezaan ketara.
“Jangan halang mereka daripada bergerak kerana anda takut mereka jatuh.
“Sebaliknya, berjalanlah bersama mereka, sediakan makanan berkhasiat, dan temani mereka ke janji temu perubatan,” katanya.
Menurut Dr. Edward, kesedaran awam amat penting dan pencegahan osteoporosis bermula pada usia muda dengan nutrisi yang baik, pendedahan pada cahaya matahari dan pergerakan.
“Inisiatif komuniti seperti sesi senaman berkumpulan, kelab berjalan kaki atau bengkel nutrisi boleh mendatangkan manfaat yang besar.
“Mulakan penjagaan tulang anda sejak awal usia.
“Apabila usia meningkat, kita perlu mengekalkan kebebasan dan mobiliti. Tulang yang kuat merupakan asas bagi tujuan ini,” katanya.
Tambahnya, jangan tunggu sehingga terjatuh baru kita ingin menghargai tulang yang dimiliki.

18 hours ago
5

















































