KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan Ampang Park berikutan faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal bermula esok hingga 28 Oktober ini di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil risikan dan analisis mendapati kawasan berkenaan dikategorikan sebagai zon merah.
Beliau berkata, kawasan itu menempatkan laluan-laluan protokol dan hotel yang didiami oleh para delegasi sidang kemuncak tersebut.
“Pihak penganjur telah dimaklumkan bahawa lokasi Ampang Park tidak sesuai kerana jaraknya kurang 50 meter daripada kawasan zon merah. Malah, hotel seperti InterContinental turut menjadi tempat penginapan rasmi delegasi ASEAN,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Fadil berkata, pihak polis telah menawarkan beberapa lokasi alternatif kepada penganjur termasuk Padang Merbok atau Dataran Merdeka, namun mereka dilaporkan masih berhasrat meneruskan perhimpunan di kawasan Ampang Park.
“PDRM menghormati hak orang ramai untuk berhimpun secara aman, namun ia mestilah mengikut peruntukan undang-undang dan mengambil kira keselamatan awam serta imej negara sebagai tuan rumah sidang ASEAN,” tegasnya.
Fadil berkata, polis akan menggerakkan kekuatan penuh melibatkan Polis Kuala Lumpur bagi memastikan tiada cubaan untuk mengadakan perhimpunan di kawasan larangan itu.
“Mana-mana individu yang tetap berkumpul atau cuba memasuki kawasan Ampang Park akan diarahkan bersurai serta boleh dikenakan tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Awam 2012,” ujarnya.
Menurutnya, kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan sepanjang sidang kemuncak berprestij itu.
“Ini bukan sekadar soal keselamatan, tetapi juga tanggungjawab bersama untuk menjaga imej Malaysia di mata dunia. PDRM akan terus memantau situasi dan bertindak jika ada provokasi atau unsur hasutan,” katanya.
Tambahnya, PDRM menerima maklumat perhimpunan tersebut dijangka melibatkan antara 1,000 hingga 1,500 orang dan dirancang berlangsung dari 9 pagi hingga 11.30 pagi. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
3

















































