SEREMBAN – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini kisahnya tular mencari kerja di Kuala Lumpur tetapi disamun memohon orang ramai untuk berhenti memperbesarkan kisah dirinya.
Lelaki OKU masalah pembelajaran berusia 21 tahun yang tidak ingin dikenali itu berkata, dia tidak berhasrat untuk menipu dalam video tular itu dengan menyatakan sudah tiada ibu bapa kerana tidak mahukan ibunya bimbang dengan keadaan dirinya baharu lari dari hospital.
“Saya tak mahu tinggal hospital, lepas kena samun dan tersedar di hospital saya larikan diri. Saya cuma minta air dekat abang yang tularkan saya tu, sebab saya haus. Tapi abang tu suruh saya duduk dan berikan saya makanan.
“Saya terpaksa kata ibu saya sudah tiada kerana tak nak hal jadi makin besar. Saya tak minta duit, namun abang itu sangat baik kerana berikan saya makanan, duit, serta tiket untuk balik ke Seremban melalui Terminal Bas Sepadu (TBS).
“Sebab kejadian samun ini, saya masih belum buat laporan polis atas beberapa alasan tertentu walaupun kepala saya benjol dan lengan saya dipukul kayu. Kesemua dokumen peribadi saya juga sudah hilang,” katanya ketika ditemui di salah sebuah flat, di sini semalam.
Sementara itu, ibu lelaki OKU berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Sara, lewat 40an, berkata, anaknya itu kini tinggal bersamanya serta bapa tiri berusia 50an, namun, anaknya itu pergi ke Kuala Lumpur untuk bekerja.
Menurutnya, wang kerja anaknya telah disamun serta pelbagai barangan sehingga anaknya dimasukkan ke hospital.
“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada orang yang tolong anak saya. Anak saya tidak mabuk dalam video tular itu jadi jangan besarkan kisah itu lagi,” ujarnya.
Minggu lalu tular video dikongsikan seorang pengusaha makanan membantu seorang OKU yang mendakwa menjadi mangsa samun dan dipukul ketika tiba di Kuala Lumpur untuk mencari kerja.
Menerusi perkongsian di TikTok oleh @ezzuchang, memaparkan seorang remaja lelaki berbangsa India menceritakan detik cemas yang dilaluinya selepas menjadi mangsa samun. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
7









![[KEMASKINI] ‘Saya hubungi bapa mentua 30 kali tidak berjawab’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/WhatsApp-Image-2025-10-29-at-3.35.57-PM-e1761726179178.jpeg)







































