PETALING JAYA – OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) telah melancarkan OCBC PartnerCare, sebuah program yang menawarkan keistimewaan eksklusif dan sokongan kepada ejen-ejen hartanah yang bekerjasama dengan bank tersebut.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna, OCBC Bank, Sammeer Sharma berkata, inisiatif strategik ini menunjukkan komitmen bank kepada kecemerlangan dalam pasaran gadai janji sambil mengukuhkan kerjasama dengan ejen-ejen hartanah, yang memainkan peranan penting dalam usahanya untuk menyediakan pembiayaan rumah.
“Program ini membawa manfaat kepada rakan-rakan pembiayaan rumah utama OCBC Bank khususnya bagi ejen hartanah.
“Menerusi OCBC PartnerCare, kami menyediakan sokongan menyeluruh yang bukan setakat memberikan insentif kewangan, tetapi turut menawarkan manfaat yang memperkasakan ejen-ejen ini secara profesional dan peribadi.
“Kami berharap dapat menjana nilai yang luar biasa menerusi kerjasama mereka dengan kami.
“Ejen hartanah yang bekerja sendiri sering tidak mendapat manfaat dan keistimewaan yang dinikmati oleh kakitangan sepenuh masa.
“Matlamat OCBC PartnerCare adalah untuk merapatkan jurang ini, dengan menawarkan manfaat menyeluruh yang disesuaikan mengikut keperluan mereka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sammeer menjelaskan, menerusi OCBC PartnerCare, ejen hartanah boleh menikmati pelbagai keistimewaan eksklusif yang memberikan fleksibiliti kewangan lebih besar sebagai sebahagian daripada komitmen bank untuk meningkatkan kesejahteraan peribadi dan memperkasakan rakan-rakan kerjasamanya.
Program ini dijangka menggandakan bilangan ejen hartanah yang berganding bahu dengan OCBC Bank pada tahun ini.
“Pemilikan rumah adalah satu matlamat hidup penting bagi ramai insan dan ejen hartanah memainkan peranan penting membimbing individu dalam proses ini.
“Bagi ejen-ejen berprestasi tinggi, program ini menyediakan perkhidmatan lebih peribadi menerusi perlindungan insurans dan khidmat naik taraf imej profesional.
“Inisiatif kami termasuk sokongan penjenamaan peribadi dan latihan penguasaan pasaran mewah untuk meluaskan bidang kepakaran, membina hubungan lebih erat dengan pelanggan bernilai bersih tinggi dan mencapai cita-cita profesional mereka,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE