SEREMBAN – Cuti sekolah serta sambutan Tahun Baharu 2026 menyaksikan beberapa lokasi rekreasi dan pelancongan di Negeri Sembilan menjadi tumpuan pengunjung.
Tinjauan mendapati, pengunjung meluangkan masa bersama keluarga selain menikmati tarikan berkonsepkan hiburan dan rekreasi dalaman yang sesuai untuk semua peringkat umur.
Bagi seorang operator Khairi Miswan, 44, dari Seremban 2, percutian ringkas bersama anak dimanfaatkan sepenuhnya sempena cuti sekolah dan sambutan tahun baharu.
“Ini kali pertama kami datang ke SnowLim Wonderland. Suasananya menarik dan berbeza, sesuai untuk bawa anak berjalan-jalan ketika cuti sekolah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Seorang guru, Saadatul Akmar Mohamad Saad, 43, berkata, kunjungan bersama 10 ahli keluarga memberi pengalaman bermakna kepada keluarganya.
“Kami datang dari Ampang dan abang dari Pulau Pinang turut hadir habiskan masa cuti di lokasi tumpuan di Negeri Sembilan. Seperti lokasi pertama kami kunjungi ini iaitu di SnowLim Wonderland tempatnya sangat sejuk dan menarik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohammad Hafiz Misbun, 38, dari Kuala Lumpur berkata, kunjungan ke Lorong Seni di Pusat Bandar Seremban memberi pengalaman berbeza kepada keluarganya.
“Pelbagai seni kreatif dapat dilihat dan ditonjolkan di sini, di samping pelbagai jualan peniaga kecil dapat diperoleh, khususnya di kawasan Benteng Walk dan Sungai Ujong Walk.
“Tambahan pula Lorong Seni Pusat Bandar Seremban juga telah diiktiraf sebagai Lorong Seni Terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records, jadi memberi keterujaan kepada kami sekeluarga melalui sepanjang lorong seni ini sambil menikmati suasana malam,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, suasana meriah di lokasi tumpuan sepanjang cuti sekolah dan sambutan tahun baharu mencerminkan peningkatan aktiviti pelancongan domestik negeri.
“Setiap daerah di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri. Kehadiran pengunjung dan pelancong luar negeri memberi petanda positif kepada sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,” katanya. -KOSMO! ONLINE

9 hours ago
24







![[VIDEO] ‘Musim tengkujuh, sampah hanyut dari luar sampai pantai Terengganu’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-02-at-15.12.59.jpeg)











![[VIDEO] Titi gantung runtuh, rombongan pengantin lelaki jatuh sungai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/01/WhatsApp-Image-2026-01-02-at-10.47.00.jpeg)





























