Naturenix, TEASK bawa teknologi pengecasan terkini

2 hours ago 1

SHAH ALAM – Naturenix, penyedia teknologi pengecasan motosikal elektrik berkelajuan tinggi dari Jepun, memeterai memorandum persefahaman dengan TEASK baru-baru ini untuk meningkatkan daya saing industri permotoran negara.

Malaysia adalah negara ketiga buat syarikat yang terkenal de­ngan teknologi 3minGo!, sistem pengecasan ultra pantas yang membolehkan bateri motosikal elektrik dicas dalam masa hanya tiga minit tanpa perlu menukar bateri, selepas berjaya meneroka pasaran Indonesia dan Thailand.

Pengarah Urusan Naturenix, Yuta Akakuma berkata, di Thailand, teknologi tersebut telah diuji dalam projek perintis bagi mena­ngani masalah bateri motosikal cepat rosak akibat cuaca panas dan tempoh pengecasan yang lama.

Sementara di Indonesia pula katanya, pengguna motosikal elektrik telah menikmati pengalaman pengecasan yang mudah dan selesa menerusi teknologi Naturenix, yang seakan mengisi petrol di stesen minyak.

“Melalui MoU ini, Naturenix akan memindahkan teknologi kepada TEASK untuk dilaksanakan di Malaysia,” katanya selepas majlis pemeteraian kerjasama antara Naturenix dan TEASK.

Naturenix turut membangunkan penyelesaian bateri untuk sektor industri seperti forklift, membolehkan pengecasan bateri hanya dalam 15 minit berbanding lapan jam bagi bateri tradisional yang bukan sahaja menjimatkan tenaga, malah mengurangkan pelepasan karbon daripada jentera industri.

Sementara itu, Pengasas Bersama TEASK, James Anthony Tan berkata, pihaknya yang telah memperkenalkan stesen pengecasan solar mudah alih pertama untuk basikal elektrik di negara ini, akan memperluaskan pemasangan infrastruktur pengecas bagi motosikal di pelbagai lokasi termasuk kawasan bandar, pusat komersial, universiti dan hospital.

“Kerjasama ini akan memberi manfaat besar kepada pengguna motosikal, dengan majoriti pengguna mahukan tempoh pengecasan pantas.

“Pada mulanya kami ingin menawarkan pengecasan selama empat jam namun selepas me­lakukan penyelidikan, kami berjaya melaksanakannya hanya dalam masa tiga minit daripada kapasiti bateri 20 peratus kepada 80 peratus,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |