Namewee bebas pertuduhan ambil dadah

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pemuzik sensasi, Namewee dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari atas pertuduhan memberikan dadah pada diri sendiri.

Majistret S.Arunjothy membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa memaklumkan bahawa keputusan patologi terhadap Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 42, adalah negatif.

Justeru pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut selain mahkamah turut memerintahkan agar wang jaminan sebanyak RM2,000 dikembalikan kepada Namewee.

Terdahulu, peguam Joshua Tay yang mewakili Namewee berkata memandangkan laporan patologi negatif, tiada prospek untuk mendakwa tertuduh dan anak guamnya wajar dilepas dan bebaskan daripada pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, melalui ujian air kencing, didapati tertuduh memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carbolic Acid (THC) dan ketamin ke dalam badannya.

Kesalahan itu dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pukul 7.15 malam pada 22 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Meskipun dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan memberikan dadah dalam badan, Namewee masih berdepan dengan satu lagi pertuduhan dadah iaitu memiliki dadah disyaki jenis ekstasi seberat kira-kira 5.12 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay di sini, pukul 4.30 petang pada tarikh sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memiliki dadah itu, Mahkamah Majistret berasingan telah menetapkan 19 Januari depan bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |