ACARA memanah compound berpasukan campuran sah akan membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun persoalan utama yang kini membelenggu penggiat sukan memanah negara ialah berkenaan proses kelayakan ke temasya sukan berprestij dunia itu.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan mengesahkan pengiktirafan rasmi daripada Memanah Dunia setakat ini hanya melibatkan acara compound berpasukan campuran.
“Proses kelayakan itu sama ada melalui ranking atau kejohanan tertentu belum dimuktamadkan oleh World Archery. Itu yang kita masih tunggu penjelasan lanjut,” katanya.
Menurutnya, struktur kelayakan memainkan peranan penting menentukan pemanah yang akan mewakili negara, memandangkan format berpasukan campuran hanya membabitkan seorang lelaki dan seorang wanita terbaik.
“Biasanya berpasukan campuran ini dipilih berdasarkan pemanah ranking tertinggi. Kalau ikut sekarang, kita ada beberapa calon yang boleh diharapkan seperti Mohd. Juwaidi Mazuki, Alang Arif Aqil dan Fatin Nurfatehah Mat Salleh,” katanya lagi.
Sementara itu, Hamid turut memaklumkan persatuan sudah mula merangka pelan tindakan bagi menghadapi proses kelayakan, namun masih menunggu maklumat rasmi daripada badan induk dunia itu mengenai proses kelayakan.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menyambut baik perkembangan itu dan menyifatkannya sebagai peluang tambahan untuk Malaysia memburu pingat di Sukan Olimpik.
“Penambahan acara ini memberikan peluang tambahan kepada Malaysia berdasarkan kepada rekod pencapaian pernah dihasilkan pemanah compound negara sejak kebelakangan ini. Sejak 2018, MSN sudah mempunyai lapan pemanah compound dalam Program Podium,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara kejayaan terbaharu skuad compound Malaysia ialah pingat emas berpasukan campuran Piala Asia Bangkok pada Februari lalu serta emas berpasukan lelaki Piala Asia 2023 dan 2024.
Juwaidi muncul atlet paling konsisten setakat ini apabila pernah menduduki ranking ke-20 dunia dan memenangi gangsa Kejohanan Dunia di Antalya pada 2023.