Muhammad Syimir Amar boleh mohon inisiatif khas Yakin, YIK

4 hours ago 2

KOTA BHARU – Pelajar kurang berkemampuan yang memperoleh keputusan 8A dalam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 baru-baru ini, Muhammad Syimir Amar Almuktar, 18, boleh memohon inisiatif khas di bawah Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, kejayaan Muhammad Syimir Amar memperoleh 8A dalam peperiksaan SPM 2024 adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan wajar dihargai.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui inisiatif khas bersama Yakin dan YIK akan memastikan pelajar seperti Muhammad Syimir Amar tidak tercicir dalam mengejar impian mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Bantuan kewangan, biasiswa pendidikan, dan program bimbingan khas akan disalur bagi meringankan beban keluarga dan memberi peluang kepada anak-anak Kelantan untuk terus berjaya.

“Kita akan berikhtiar sedaya upaya dan tidak mahu melihat pelajar-pelajar cemerlang terpaksa menangguhkan pengajian mereka hanya kerana kesempitan hidup.

“Kerajaan Negeri Kelantan akan cuba sedaya mungkin untuk menyediakan sokongan yang diperlukan termasuk bantuan kewangan, tajaan pendidikan dan sokongan motivasi agar mereka dapat melangkah ke peringkat pengajian tinggi tanpa halangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! kelmarin melaporkan, seorang ibu tunggal, Hayuzi Mat Zain, 46, yang merupakan ibu kepada Muhammad Syimir Amar buntu untuk mendapatkan sumber kewangan sebanyak RM3,000 menguruskan anak ketiganya yang bakal melanjutkan pengajian ke insitusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Wan Roslan memberitahu, kerajaan Negeri Kelantan sentiasa prihatin dan komited dalam membantu pelajar-pelajar cemerlang yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |