Muafakat Nasional ‘sudah mati’, tak perlu dihidupkan semula

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Muafakat Nasional (MN) disifatkan sudah menjadi sejarah dan tidak wajar dihidupkan semula selepas ‘dimatikan tanpa nisan’ ketika perbincangan awal untuk mendaftarkannya sebagai gabungan politik suatu ketika dahulu.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Khairuddin Takiri berkata, usaha menghidupkan kembali MN tidak lagi relevan malah nama gabungan itu sendiri sudah ‘dihijack’ apabila didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika rundingan politik masih berjalan.

“MN sudah jadi sejarah. Ia telah dimatikan tanpa nisan dan tak perlu dihidupkan. Biarkan terus menjadi ‘hantu’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sekiranya matlamat sebenar adalah untuk menyatukan kekuatan Melayu dan Islam, rundingan perlu dibuat secara terus antara semua parti politik orang Islam termasuk UMNO, Pas, PKR dan Amanah.

“Kalau nak satukan semua Melayu Islam, rundingkan antara semua parti orang Islam. Barulah Islam Melayu kuat. Apabila Melayu Islam bersatu, orang lain akan ikut dan turut sahaja,” ujarnya.

Beliau turut mengumpamakan penyatuan itu seperti air mutlak yang mampu meneutralkan air mutanajjis, merujuk kepada kekuatan nilai Islam dalam memimpin dan menstabilkan landskap politik negara.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, mencari dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah bagi menyokong penyatuan umat Islam bukanlah sesuatu yang sukar.

“Pas boleh datangkan dalil. Saya pun boleh bantu bagi dalil,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya satu gabungan baharu diwujudkan dengan nama lain, antaranya Perpaduan Rakyat Nasional, yang menghimpunkan kerjasama antara sebahagian parti dalam Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Cadangan itu, katanya, lebih realistik berbanding menghidupkan semula MN yang sudah kehilangan roh dan kepercayaan. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |