KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi atau melayan sebarang cubaan pemain industri untuk berunding bagi menghalalkan kesalahan membawa muatan berlebihan oleh kenderaan berat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan tegas terhadap kenderaan berat yang membawa lebihan muatan akan diteruskan tanpa sebarang pengecualian demi menjaga keselamatan pengguna jalan raya dan mengelak kerosakan infrastruktur.
“Saya agak terkilan dengan tindakan sebahagian daripada pemain-pemain industri ini. Mereka tahu selama ini sebenarnya mereka nak kita berunding dengan mereka.
“Ini bagi saya suatu yang mencabar autoriti kerajaan. Dia (pemain industri) sudah buat salah, dia mintak saya nak berunding dengan dia. Jadi saya cakap lupakan saya. Tak ada rundingan, penguatkuasaan undang-undang akan tetap berjalan.
“Jadi lebih baik mereka ini mematuhi dan mengambil segala tindakan supaya pastikan mereka mematuhi peraturan, undang-undang ” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (PH-Bangi), yang meminta penjelasan susulan rungutan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) bahawa tindakan tegas JPJ meningkatkan kos operasi kerana lori terpaksa membuat lebih banyak perjalanan.
Mengulas perkara itu, Anthony Loke menegaskan keselamatan pengguna jalan raya tetap menjadi keutamaan kerajaan berbanding keuntungan mana-mana pihak industri.
“Mereka membawa lebihan muatan, jadi apa pilihan kita? Adakah kita nak tunduk kepada permintaan-permintaan kumpulan ini maka kita tutup mata sajalah? Tutup mata jangan buat penguatkuasaan? Apakah reaksi rakyat?.
“Semua akan mengatakan bahawa isu sekarang adalah keselamatan jalan raya. Bermacam-macam kemalangan berlaku akibat kenderaan berat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2

















![[VIDEO] Dipaksa makan daging babi, minum arak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/IMG_0524.jpeg)































