Mohd. Annuar dilantik semula Yang Dipertua MAIPk

2 hours ago 1

IPOH – Pro-Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dilantik semula sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi penggal 2026-2027.

Mohd. Annuar yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) menerima watikah pelantikan daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Dipertua dan anggota MAIPk serta Hakim Mahkamah Syariah Perak di Kelab Golf Diraja Perak (RPGC), di sini hari ini.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 26 lagi anggota MAIPk termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak.

Seramai 21 anggota pada penggal 2024-2025 dilantik semula kali ini, sementara lima anggota baharu dilantik bagi penggal 2026-2027.

Anggota baharu yang dilantik ialah Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab Wahab Azizul Hassan; Presiden Majlis Belia Negeri Perak, Muhammad Naim Al Amin Saharudin dan Pensyarah di Jabatan Syariah, Ekonomi dan Tadbir Urus Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Dr Asmak Ab Rahman.

Selain itu, anggota baharu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd., Zainal Iskandar Ismail dan Pengurus Pusat Pembelajaran dan Pengasingan Barangan Kitar Semula, Habibah Yaakob.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin berkenan melantik Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Ari Balia Yusof Wahi sebagai Hakim Mahkamah Utama Syariah Negeri Perak.

Turut dilantik ialah Tan Sri Abdul Hamid Embong, Datuk Muhamad Asri Abdullah, Datuk Asa’ari Mohd. Yazid dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Bagi pelantikan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perak, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan kepada Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Seri Abdul Razak Musa selain Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak, Mohammad Syamil Azizan serta Hakim Mahkamah Rendah Syariah Negeri Perak kepada Zuraidah Idris dan Nor Atikah Badri.

Turut menerima watikah pelantikan, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Seri Iskandar, Hanim Khairani, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Manjung, Multazimah Rafie dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Parit Buntar, Muhamad Hamidi Hamizi Abdul Manaf.

Dalam majlis yang sama, baginda berkenan melantik 54 orang Ahli Majlis Pengurusan Masjid Negeri Perak yang berperanan memperkukuh tadbir urus masjid,memantapkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti, serta menyokong agenda dakwah, pendidikan dan kesejahteraan ummah di seluruh negeri Perak.

Baginda juga berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan dan pendapatan daripada 11 agensi melibatkan jumlah keseluruhan RM18,400,115.12. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |