Modenas lancar model supermoped Z15GT

8 hours ago 3

PETALING JAYA – Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), pengeluar motosikal nasional dan ahli Kumpulan DRB-HICOM melancarkan model supermoped baharu Z15GT, yang ditawarkan pada harga RM8,288.

Ia menjadi supermoped pertama yang dibangunkan sepenuhnya di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan berkata, sejak penubuhan Modenas telah berkembang daripada sebuah pengeluar motosikal nasional kepada rakan global melalui kerjasama strategik bersama Kawasaki. 

Menurutnya, bersama dengan DRB-HICOM , kerjasama ini telah mengubah Modenas daripada sekadar syarikat pemasang motosikal kepada jenama yang membangun, mereka bentuk dan berinovasi di peringkat dunia.

“Selama beberapa dekad, segmen ini telah didominasi oleh jenama-jenama global.

“Kini Modenas melangkah ke hadapan dengan keyakinan, bersedia berdiri sebaris dengan peneraju industri dan mencipta kejayaan bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran model supermoped Z15GT.

Tambahnya, pelancaran  Z15GT  adalah bukti nyata kepada usaha itu dan ia ia dibangunkan berdasarkan piawaian terbaik dalam kelasnya.

Dalam pada itu, Z15GT merupakan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang diketuai sepenuhnya oleh rakyat Malaysia, disokong oleh kerjasama teknikal Modenas dengan Kawasaki.

Dibangunkan selama tiga tahun lima bulan oleh pasukan berdedikasi terdiri daripada 31 jurutera, pereka dan juruteknik tempatan, Z15GT meletakkan Malaysia setanding dengan jenama global terkemuka dalam segmen supermoped 150cc yang amat kompetitif.

Roslan berkata, pasukan ini dibimbing oleh pakar Kawasaki, menjalani latihan di Jepun, serta dihantar ke Australia dan Eropah untuk program reka bentuk enjin khas.

“Daripada lakaran pertama di kilang Modenas di Gurun, Kedah dan kemudia ke fasa pengesahan di Jepun, dan kembali ke Gurun untuk pengeluaran, Z15GT membuktikan bahawa bakat Malaysia mampu bersaing di pentas dunia.

“Motosikal ini bukan sekadar produk,tetapi satu pernyataan hasrat bahawa Modenas bersedia berdiri sebaris dengan jenama lain dengan menawarkan inovasi, kebolehpercayaan dan kebanggaan untuk penunggang Malaysia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |