PETALING JAYA – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pelaburan di negara ini sejak hampir enam dekad lalu kini terkenal sebagai arkitek kepada pembinaan ekosistem semikonduktor negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, ketangkasan MIDA dalam membangunkan ekosistem semikonduktor serta keupayaannya memahami denyut nadi pelabur, telah meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk muncul sebagai hab semikonduktor generasi baharu bertaraf dunia.
Menurut beliau, pelaburan dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E) telah memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab industri berteknologi tinggi, sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Menurutnya, ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, malah memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan keusahawanan.

Malaysia kini disenaraikan sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia dengan menguasai kira-kira 13 peratus pasaran global dan menyumbang lebih 20 peratus kepada perdagangan semikonduktor Amerika Syarikat.
“Kedudukan ini meletakkan negara sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan teknologi dunia,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Sikh Shamsul, momentum Malaysia terus kukuh dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM285.2 bilion dalam sembilan bulan pertama 2025, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun aliran modal global terjejas akibat ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan.
“Daripada jumlah tersebut, sektor perkilangan menyumbang RM93.8 bilion melalui 885 projek, dengan industri E&E mencatat pelaburan bernilai RM22 bilion.
Sektor semikonduktor pula merekodkan pelaburan signifikan bernilai RM12.3 bilion (USD2.9 bilion), sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Tambah beliau, industri semikonduktor Malaysia kini bergerak ke segmen bernilai lebih tinggi, menandakan permulaan gelombang kedua yang dipacu oleh Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
gambar hiasanGelombang pertama semikonduktor Malaysia bermula pada era 1970-an dengan kemasukan pelabur perintis yang digelar sebagai The Eight Samurai ke Pulau Pinang dan antara syarikat terawal ialah National Semiconductor (kini Texas Instruments), Intel Malaysia, Hewlett-Packard (kini Agilent), Advanced Micro Devices (AMD), Bosch, Clarion, Litronix (kini Osram) serta Hitachi (kini Renesas).
“MIDA menyedari bahawa limpahan pelaburan asing ini perlu disokong oleh ekosistem domestik yang kukuh untuk memastikan kelangsungan dan impak jangka panjang. Pelbagai inisiatif diperkenalkan, termasuk penyediaan insentif, penyelarasan industri dan pembangunan infrastruktur asas.
Selain itu, pembangunan rantaian bekalan sokongan meliputi industri mesin, automasi dan kejuruteraan ketepatan turut diberi perhatian.
Seiring kematangan industri, MIDA menyedari keperluan memperluas ekosistem semikonduktor ke negeri-negeri lain bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan serta membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.
Pengembangan ini digerakkan ke wilayah tengah dan selatan, membentuk landskap industri yang lebih seimbang serta mengurangkan kebergantungan kepada satu wilayah semata-mata.

Tambah beliau, wilayah tengah kini muncul sebagai nadi baharu kepada gelombang kedua industri semikonduktor Malaysia.
Menerusi Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah yang dilancarkan pada 11 November 2025, Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri serantau yang menyepadukan kekuatan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
“Wilayah Tengah menumpukan usaha menghubungkan ekosistem sedia ada melibatkan pembekal, logistik, makmal ujian, institusi pengajian tinggi dan rakan inovasi, untuk menutup jurang kritikal serta memaksimumkan impak sokongan kerajaan,” jelas beliau.
Secara keseluruhan, pembangunan ekosistem semikonduktor di wilayah tengah diunjurkan menyumbang RM24.5 bilion kepada KDNK setiap tahun serta menjana sekitar RM12.5 bilion pelaburan dan mewujudkan 6,000 peluang pekerjaan baharu setahun, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama pertumbuhan semikonduktor negara.
Dalam pada itu, Sikh Shamsul, gelombang kedua semikonduktor melalui NSS, yang diluncurkan tahun lalu, menandakan peralihan daripada pusat pembuatan tradisional kepada pusat inovasi bernilai tinggi, dengan sasaran pelaburan, pembangunan syarikat tempatan, dan latihan bakat berkemahiran tinggi.
Antara sasaran utama NSS termasuklah menarik pelaburan domestik dan asing bernilai RM500 bilion dalam jangka panjang, melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam bidang reka bentuk dan pembungkusan canggih dengan pendapatan di antara RM1 bilion sehingga RM4.7 bilion.
Misinya juga adalah untuk membangunkan lebih 100 syarikat tempatan dengan nilai melebihi RM1 bilion dan melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Sehingga kini, NSS telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM76.4 bilion bagi tempoh Januari 2024 hingga September 2025, serta melatih lebih 13,000 tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Antara projek utama termasuk teknologi pembungkusan termaju Carsem, produk semikonduktor NXP, kilang silicon carbide 200 mm terbesar dunia oleh Infineon, operasi MEMS Syntiant serta pembuatan papan litar bercetak Plexus.
Setakat 9 November lalu, MIDA sedang menyelaras 192 projek berpotensi bernilai RM39.0 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap dasar pro-perniagaan serta hala tuju ekonomi jangka panjang Malaysia.
Menurut Datuk Sikh Shamsul Ibrahim, landskap pelaburan global hari ini tidak lagi melihat Malaysia sebagai pilihan sampingan. Sebaliknya, negara ini semakin diangkat sebagai destinasi utama pelaburan teknologi.
“Nilai sebenar pelaburan hari ini bukan hanya pada jumlahnya, tetapi pada projek berasaskan teknologi seperti infrastruktur digital dan pembuatan termaju yang mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

1 hour ago
2






![[VIDEO] Ikan lumba-lumba muncul di Pantai Tembeling](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-11-at-15.13.03.jpeg)










































