UNIVERSITI Malaya (UM) terus memperkukuh reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap kelestarian apabila bangunan Mercu Alam Bina secara rasminya menerima pensijilan Green Building Index (GBI) baru-baru ini.
Lebih membanggakan, ia menjadikan bangunan pertama di universiti dalam bandar itu yang mencapai pengiktirafan berprestij tersebut.
Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Ts. Dr. Azlan Shah Ali berkata, pensijilan itu merupakan satu pengiktirafan terhadap reka bentuk dan operasi bangunan yang lestari, efisien dari segi tenaga dan sumber serta memberi keselesaan kepada pengguna.
Jelasnya, bangunan Mercu Alam Bina yang menempatkan Fakulti Alam Bina telah dinilai dengan pendekatan lestari yang menyeluruh, merangkumi elemen pengudaraan semula jadi, pencahayaan semula jadi, penjimatan air dan tenaga serta landskap hijau yang menyokong biodiversiti kampus.
“Pensijilan ini mengukuhkan dan menyumbang kepada kedudukan universiti dalam penarafan berkaitan dengan kelestarian seperti QS World University Rankings (Sustainability), THE Impact Rankings dan juga UI GreenMetric World University Rankings.
“Ia juga secara tidak langsung meningkatkan kredibiliti UM sebagai universiti bertaraf dunia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik tetapi komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
“Kami komited membantu universiti dalam menghijaukan enam lagi bangunan di kampus melalui khidmat perunding dalaman fakulti kelak,” katanya.

Azlan Shah berkata demikian pada majlis penganugerahan sijil GBI yang disampaikan oleh Penolong Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Ar. Sarly Adre Sarkum.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif GBI, Profesor Dr. Yvonne Lim Ai Lian dan warga Fakulti Alam Bina UM.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidik Projek, Prof. Madya Sr Dr. Noor Suzaini Mohamed Zaid berkata, UM memiliki lebih daripada 500 blok bangunan di seluruh kampus dan setiap satunya menyumbang kepada impak karbon, penggunaan tenaga dan kesejahteraan warganya.
Menurutnya, pensijilan GBI bagi Mercu Alam Bina bukan sahaja satu simbolik tetapi menjadi penanda aras strategik ke arah kelestarian menyeluruh infrastruktur kampus.
“Bangunan Mercu Alam Bina berfungsi sebagai makmal hidup kepada para pelajar untuk mempelajari secara praktikal tentang proses dan kriteria pensijilan bangunan hijau.
“Malah, ia memberi peluang kepada para penyelidik untuk menjalankan kajian, mencuba teknologi baharu dan seterusnya meningkatkan tahap kelestarian bangunan dari semasa ke semasa,” katanya.
Tambah beliau, Mercu Alam Bina menjadi contoh praktikal bagaimana universiti boleh memimpin dalam pelaksanaan agenda kelestarian sekali gus pencetus kepada perubahan dasar, inovasi teknologi dan gaya hidup lestari dalam konteks pendidikan tinggi.
Terdahulu, majlis penganugerahan itu diadakan bersempena Sambutan Jubli Perak Fakulti Alam Bina UM.
Sepanjang 25 tahun penubuhannya, fakulti itu telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan transformasi yang signifikan.
Sambutan tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran pelajar, reruai maklumat kemasukan, taklimat dan pameran bertaraf antarabangsa.