PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengemukakan surat tuntutan (Letter Of Demand) sebanyak RM10 juta terhadap seorang pengguna laman sosial Facebook yang didakwa membuat dakwaan berunsur fitnah mengenai penutupan sekolah pondok di Kelantan dan Kedah.
Berdasarkan surat tuntutan yang dikeluarkan oleh firma guaman Akberdin & Co. kepada pengguna laman sosial yang dikenali sebagai ‘Hafiz Sahidi’, peguam Na’im berkata, kenyataan dibuat lelaki berkenaan yang menuduh menteri mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar adalah palsu, berniat jahat dan berunsur fitnah.
“Kenyataan itu menggambarkan anak guam kami, tidak prihatin terhadap salah laku moral dan jenayah di sekolah, terlibat atau menyokong penutupan institusi pondok (sekolah Islam), bertindak secara cuai terhadap nilai-nilai Islam dalam pendidikan serta mengkhianati amanah masyarakat Islam dan menjejaskan keyakinan umum terhadap kementerian serta kerajaan Malaysia,” kata surat tuntutan itu.
Justeru, pihak peguam Na’im menuntut Hafiz menarik balik kenyataan tersebut dalam tempoh tempoh 48 jam daripada tarikh penerimaan surat tuntutan, menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat di semua media sosial dan laman sesawang selama 30 hari.
” Sekiranya gagal berbuat demikian, kami menerima arahan tegas daripada anak guam untuk memulakan tindakan undang-undang antara lain perintah injunksi menghalang daripada terus menerbitkan kenyataan fitnah, ganti rugi RM10 juta dan permohonan maaf tanpa syarat di semua media sosial serta laman sesawang,” ujar surat itu lagi.
Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengenal pasti pihak yang terlibat menyebarkan berita palsu mengenai dakwaan kononnya Kerajaan Persekutuan mengarahkan penutupan sekolah pondok tidak berdaftar di Kelantan dan Kedah.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, aduan telah dibuat kepada MCMC bagi menjalankan siasatan terhadap perkara itu. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
5






![[VIDEO] ‘Warden askar ada, hantu pun takut’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/10/Tangkap-layar-video-MRSM-Balik-Pulau-yang-inginkan-program-warden-bekas-tentera-diteruskan.jpeg)










































