Mental fokus utama Aaron-Wooi Yik

4 hours ago 3

BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik enggan terlalu terbeban dengan kekalahan separuh akhir Terbuka Perancis 2025, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran untuk memperkukuh aspek mental mereka.

Pada aksi di Glaz Arena, Cesson-Cevigne kelmarin, pasangan negara itu tumpas 14-21, 19-21 kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri dalam pertarungan selama 40 minit.

Ia sekali gus menafikan peluang mereka memburu gelaran keempat musim ini selepas mengutip tiga kejuaraan utama pada Kejohanan Badminton Asia (April), Terbuka Thailand (Mei) dan Terbuka Singapura (Jun).

Mengulas kekalahan itu, Aaron mengakui lawan tampil lebih agresif sejak awal permainan, manakala mereka sedikit bergelut mengekalkan konsistensi di gelanggang.

“Mereka menyerang dari awal dan kami banyak bermain dalam situasi mengejar. Saya rasa kekurangan kami kali ini lebih kepada aspek konsistensi,” katanya.

Meskipun tewas kali kedua kepada gandingan sama selepas final Terbuka China di Changzhou, Aaron tetap optimis bahawa mereka semakin memahami corak permainan Fajar-Shohibul dan hanya perlu masa untuk menyesuaikan strategi.

“Ramai pemain lain juga masih mencari cara terbaik untuk menghadapi mereka. Kami akan terus menganalisis dan belajar cara menyaingi mereka,” ujarnya.

Bagi Wooi Yik, siri jelajah Eropah kali ini memberi banyak pengajaran dari segi kekuatan mental dan ketahanan fizikal yang menjadi asas kepada persiapan tahun depan.

“Kami belajar banyak tentang aspek mental sepanjang kejohanan ini. Sekarang kami mahu fokus pada persediaan untuk musim baharu tahun depan,” katanya.

Selepas ini, Aaron-Wooi Yik akan meneruskan cabaran di Terbuka Hylo di Jerman bermula esok menentang beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley pada pusingan pertama. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |