Menara Telco Maxis terbakar, gangguan capaian di Kuala Kangsar

2 hours ago 4

PETALING JAYA – Kebakaran sebuah menara komunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak petang tadi mengakibatkan gangguan liputan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan beberapa syarikat telco utama.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.50 petang itu melibatkan menara yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis.

Akibat insiden berkenaan, pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile dilaporkan mengalami gangguan liputan di beberapa kawasan sekitar Kuala Kangsar.

Menurut MCMC, kawasan terjejas meliputi Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.

Gangguan turut dirasai di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara–Selatan yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

“MCMC mengesahkan punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan.

“Akses ke lokasi kejadian telah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, MCMC memaklumkan pihaknya telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat supaya melaksanakan tindakan pembetulan segera termasuk menyediakan pelan pemulihan menyeluruh bagi memulihkan gangguan liputan.

Sebagai langkah kecemasan, MCMC turut mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak arah utara bagi memastikan pengguna lebuh raya masih mempunyai akses komunikasi.

“MCMC juga mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan untuk memperketatkan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal serta pemantauan berterusan di semua menara komunikasi demi menjamin kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |