KUALA LUMPUR – Penyanyi Shiha Zikir tidak menafikan kewujudan gangguan mistik dalam dunia perniagaan, namun menegaskan perkara tersebut bukan punca utama penutupan cawangan restoran nasi ayam miliknya di Seksyen 7, Shah Alam, baru-baru ini.
Ujar Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd. Zikir, 38, sebagai peniaga, pelbagai cabaran perlu ditempuhi termasuk perkara di luar jangkaan, namun keputusan menutup operasi dibuat atas faktor pengurusan serta kewangan.
“Saya rasa sesiapa pun yang berniaga pernah lalui perkara macam ini. Kalau bukan semua, kebanyakannya pasti pernah berdepan situasi pelik.
“Tapi saya nak tegaskan, saya tak pernah kata kedai saya tutup sebab sihir. Penutupan dibuat kerana kelemahan diri sendiri dalam menguruskan perniagaan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pelantun lagu Irama itu, pengalaman berdepan gangguan sebegitu membuka matanya terhadap realiti sebenar dunia perniagaan, malah ada kejadian aneh berlaku tanpa penjelasan logik.
Bagaimanapun, dia menganggap perkara tersebut sebagai ujian dan adat berniaga, selain percaya setiap rezeki datang daripada Tuhan.
“Ada orang nampak kedai saya tutup sedangkan operasi berjalan seperti biasa.
“Malah ada pelanggan sudah sampai depan kedai, tapi nampak premis seolah-olah tak beroperasi. Penghantar tong gas pun pernah cakap kedai tutup, padahal setiap hari kami buka.
“Kalau terkena perkara macam ini, saya anggap sebagai cabaran. Rezeki semua di tangan Allah dan saya percaya setiap ujian ada hikmah,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu turut mendedahkan pernah menemui barangan mencurigakan di sekitar premis, namun memilih untuk tidak menjadikan isu tersebut sebagai bahan sensasi.
“Kami pernah jumpa benda pelik di dalam dan luar kedai, termasuk dalam pasu bunga. Tapi saya bukan jenis suka kongsi hal begini.
“Saya anggap ini ruang untuk belajar dan baiki kelemahan dalam mengurus perniagaan makanan,” jelasnya.
Paling penting katanya, penutupan cawangan tersebut dibuat bagi mengelakkan kerugian lebih besar kerana pulangan di lokasi berkenaan tidak mencapai sasaran.
Malah, dia turut meluahkan rasa terharu apabila menerima sokongan padu daripada peminat serta pelanggan selepas pengumuman penutupan dibuat dalam media sosial.
“Daripada menanggung kos kerugian setiap bulan, lebih baik tutup dahulu.
“Saya sedang mencari lokasi baharu yang lebih strategik dan sesuai.
“Bila saya umumkan penutupan, banyak mesej dan komen positif diterima. Ada beritahu mereka kerap membuat pesanan melalui aplikasi penghantaran. Dari situ saya sedar, sebenarnya ramai menyokong,” tuturnya.
Untuk rekod, Shiha Zikir Nasi Ayam cawangan Seksyen 7, Shah Alam menamatkan operasi berkuat kuasa 15 Disember lalu.
Shiha memulakan perniagaan nasi ayam di Kampung Baru pada Mac 2023 sebelum membuka cawangan kedua di Shah Alam pada Mac tahun berikutnya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1


![[VIDEO] Ramai rim pecah, tayar bocor lalu Jalan Taman Wangi, Gua Musang](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/RIM-PECAH-TULAR-VIRAL.jpeg)














































