Melaka bina 6 tol sepanjang jajaran WCE

9 hours ago 5

MELAKA – Jajaran Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal merentasi Melaka dengan laluan di tengah negeri sejauh 69 kilometer, sekali gus meningkatkan akses dan kemudahan pengangkutan kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kerajaan negeri telah memuktamadkan jajaran tersebut dan enam tol dijangka dibina.

“Sebanyak enam tol akan dibina, tiga antaranya adalah Tol Masjid Tanah, Tol Gangsa dan Tol Semabok. Melaka akan mempunyai sembilan pintu masuk, selain tiga sedia ada melalui Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu Plaza Tol Simpang Ampat, Ayer Keroh dan Jasin.

“Satu laluan khas dari Gangsa terus ke kawasan Zon Ekonomi Pesisir Air Melaka (MWEZ) juga dirancang untuk memudahkan akses ke zon ekonomi ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-15, di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Tambahnya, laluan WCE di Melaka dipilih melalui kawasan tengah negeri bagi mengelakkan kawasan pantai, selain memberikan liputan strategik ke seluruh negeri.

Jelasnya, kawasan Ayer Keroh akan menjadi tempat transit antara Lebuh Raya Utara-Selatan dan WCE untuk pengguna menukar laluan ke destinasi.

Ditanya sama ada penduduk tempatan bakal terkesan dengan kadar tol yang akan dikenakan, beliau memberitahu orang ramai masih boleh menggunakan Jalan Lingkaran (Ring Road) tanpa tol di bawah Program Pembangunan Jalan Raya Melaka yang dirancang sehingga 2035.

“Ring Road ini melalui Masjid Tanah, Sungai Udang dan bersambung ke Klebang, seterusnya ke Melaka Raya dan Semabok yang sudah mempunyai empat lorong.

“Jajaran ini mengelilingi bandar Melaka, jadi orang Melaka tidak perlu menggunakan tol kerana mereka mempunyai laluan sendiri selain Lebuh AMJ dan Lebuh SPA yang sedia ada,” katanya.

Menurut Hameed, Jalan Lingkaran itu akan menghubungkan dua daerah iaitu Alor Gajah ke Melaka Tengah, dengan kos melebihi RM300 juta untuk menaik taraf jalan daripada dua lorong kepada empat lorong sepanjang hampir tujuh kilometer. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |