PETALING JAYA – Megaklinik Dr Suffian (MKDS) dalam perancangan untuk membuka tiga lagi cawangan baharu menjelang suku pertama tahun depan dalam usaha meluaskan penguasaan pasarannya di seluruh negara.
Pengarah Urusan Eksekutifnya, Dr Suffian Sani Sayuti berkata, antara lokasi yang dipilihnya adalah di Putrajaya dan juga di Melaka.
Buat masa ini, syarikat yang beribu pejabat dan juga memiliki klinik sulungnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur itu telah memiliki cawangan kedua di Shah Alam.
Menurut beliau, pembukaan cawangan itu merupakan satu keperluan kerana jumlah pelanggan meningkat dengan ketara bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan serta konsultasi.
“MKDS menetapkan polisi satu cawangan bagi setiap negeri bagi memastikan standard protokol dan kualiti rawatan kekal pada tahap tertinggi.

“Pada masa sama, kami juga mengalu alukan lebih ramai bakat baharu untuk menyertai pasukan kami dan berkembang bersama organisasi.
“Buat masa ini, kami lebih memilih strategi pengembangan menggunakan dana sendiri berbanding model francais di mana pendekatan ini memastikan kestabilan syarikat dan mengekalkan kualiti protokol MKDS sebagai antara yang terbaik di Asia serta setaraf piawaian global,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MKDS kini diiktiraf sebagai pusat perubatan penurunan berat badan paling aktif di Malaysia, dengan lebih 2,000 pesakit setiap bulan selain menjadi antara klinik pertama di Malaysia yang mengintegrasikan teknologi Garmin dalam protokol rawatannya.
Selain itu, sebagai menghargai komitmen dan sokongan kakitangannya, MDKS telah meraikan mereka dalam satu percutian ke Seoul, Korea selama lima hari baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya, Nuraishah Hanani berkata, program percutian tahunan itu merupakan kali kedua diperkenalkan syarikat bermula tahun lalu dengan membawa seluruh pasukan ke Osaka, Jepun.
Menurut beliau, budaya itu diwujudkan sebagai satu cara untuk berkongsi rezeki bersama seluruh warga kerja yang telah bersama membangunkan MKDS.
“Program lawatan itu juga berperanan meningkatkan motivasi, komitmen dan kualiti kerja dalam kalangan kakitangan serta para doktor supaya nama baik MKDS sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Walaupun kos lawatan ke luar negara secara keseluruhan adalah tinggi berbanding penganjuran di dalam negara, MKDS mampu melaksanakannya kerana pengurusan kewangan syarikat yang efisien dan telus.
“Perancangan kewangan bagi program ini telah disusun setahun lebih awal di mana pendekatan MKDS adalah untuk berkembang bersama pasukan, bukan hanya membolehkan pengasas menikmati kejayaan secara bersendirian,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

6 hours ago
2

















































