Masih terlalu awal ASEAN capai kesepakatan ala NATO

10 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal bagi negara-negara ASEAN untuk mencapai kesepakatan pertahanan ala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara umum bersetuju dengan cadangan mewujudkan kesepakatan pertahanan ASEAN atas dasar ‘centrality’.

“Memang kita tidak mahu ada kuasa besar ‘menangguk di air keruh’ dan melanggar kedaulatan kita, cuma belum sampai ke situ. Kerjasama dengan beberapa negara seperti Indonesia, Singapura Thailand memang agak meningkat. Tetapi terlalu awal mencapai kesepakatan daripada kerjasama sempadan ala NATO yang juga menjadi isu kontroversi sekarang. Tapi cadangan ini saya percaya rakan di Kementerian Luar akan ambil perhatian,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) adakah kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu sistem pertahanan bersama ASEAN supaya rantau ini selamat dan tidak diganggu negara kuasa besar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menyifatkan cadangan Tuan Ibrahim supaya satu suruhanjaya tetap persempadanan negara ASEAN diwujudkan sebagai baik dan patut diberi perhatian oleh kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, pada peringkat sekarang adalah meneruskan kerjasama dan perbincangan dengan negara jiran yang menyentuh soal sempadan termasuk proses cari gali oleh Petronas.

Ujar Perdana Menteri, beliau mengambil perhatian insiden ratusan nelayan mengepung kapal tinjauan milik syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas di perairan Ketapang, Sampang, Madura baru-baru ini.

“Tapi tak sampai ke tahap kita harus hubungi Presiden (Indonesia) Prabowo Subianto kerana umumnya hubungan Malaysia dan Indonesia baik dan persoalan sempadan kita leraikan sebagai sahabat.

“Petronas hanya carigali di kawasan yang tetap milik kita dan tidak menceroboh kawasan lain. Kes-kes pencerobohan nelayan Malaysia atau Indonesia kita cuba leraikan dengan baik.

“Beberapa rundingan sempadan telah dicapai, tetapi ada beberapa belum dimuktamadkan termasuk Ambalat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |